Jambatan Harapan, riadah baru penggemar sukan berbasikal dan pejalan kaki

Admin

PANTAI JEREJAK – Jambatan lingkaran berbasikal dan pejalan kaki pertama di Malaysia dinamakan sebagai ‘Jambatan Harapan’, umum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Katanya, keputusan menamakan ia dengan ‘Harapan’ adalah setelah mendapat cadangan orang ramai pada Majlis Pelancaran Jambatan Lingkaran Berbasikal dan Pejalan Kaki dekat Queensbay Mall di sini 20 Mei lalu.

“Ini merupakan satusatunya jejantas di Malaysia yang direka bentuk khas dalam bentuk lingkaran untuk memenuhi keperluan pejalan kaki dan penunggang basikal bagi menyeberangi Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kontraktor yang berjaya menyiapkan projek ini menjadi suatu realiti, ilham daripada sekumpulan kecil (kumpulan berbasikal) termasuk saudara Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Datuk Bandar (Ar. Yew Tung Seang) dan para peminat basikal di negeri ini,” ucap beliau pada majlis perasmian berkaitan.

Hadir sama, Exco-exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali; Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP dan komuniti berbasikal. Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu, jambatan berkenaan merupakan suatu perkara yang direalisasikan selepas 10 tahun, iaitu apabila komuniti-komuniti basikal memberikan cadangan kepada Kerajaan Negeri.

“Setelah hampir 10 tahun, kita (Pulau Pinang) semakin dekat dengan impian Pulau Pinang dalam menjadikan basikal sebagai mod pengangkutan, sukan dan santai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa beliau akan turut mempromosikan jambatan lingkaran berkaitan di Putrajaya sekiranya ada yang berminat mencuba aktiviti berbasikal di Pulau Pinang.

Difahamkan, jambatan lingkaran bersama dua jambatan merentangi Sungai Nibong Kecil dan Sungai Ara yang mula dibina pada 18 Julai 2016, siap pada 17 Mei 2018 dengan menelan belanja sebanyak RM8.9 juta.

Ia mempunyai jarak 600 meter jarak menaik dan menurun dengan kelebaran 3 meter lorong basikal dan 1.5 meter bagi pejalan kaki.