Jambatan Jalan Hassan Abbas diharap kurang risiko banjir kilat – Exco

Admin

TELUK BAHANG – Pembinaan jambatan baru di Jalan Hassan Abbas diharap dapat mengurangkan impak banjir kilat serta membawa keselesaan kepada penduduk dekat Teluk Bahang, kata Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

ZAIRIL Khir Johari (kanan sekali semasa meneliti gerak kerja pembinaan jambatan.

Ia berikutan rentetan tragedi banjir kilat yang melanda pada tahun 2017, kawasan di sekitar Teluk Bahang mengalami kenaikan air yang teruk disebabkan saiz ‘box culvert’ kecil yang memerangkap sisa-sisa dan seterusnya menghalang aliran air.

“Projek pembinaan jambatan baru ini merupakan pembinaan box culvert asal tanpa melibatkan sebarang pengambilan tanah.

“Untuk makluman, projek ini telah menelan kos kontrak asal sebanyak RM2.52 juta dengan penjimatan di tapak sebanyak RM300,000 melalui Tabung Caruman Perparitan,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jambatan Baru Menggantikan Box Culvert di Jambatan Hassan Abbas, Teluk Bahang dekat sini pada 25 November 2023.

Hadir sama, Jurutera Penguasa Kanan (Jalan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Goh Kiet Rhee, wakil JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Pulau Pinang, pasukan Kontraktor Dan Perunding serta wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bahang dan Teluk Awak.

PEMBINAAN jambatan berukuran 10 meter yang telah siap sepenuhnya.

 

Tambah Zairil, pembinaan jambatan berukuran 10 meter tersebut bakal menyediakan akses lebih cekap dan selamat kepada pengguna di sekitar Teluk Bahang.

“Tempoh pelaksanaan projek bermula sejak 3 Januari 2023 dengan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) sebanyak dua kali disebabkan oleh kerja-kerja pengalihan utiliti dan pindaan terhadap reka bentuk cerucuk.

“Jambatan tersebut siap sepenuhnya pada 25 Oktober 2023 baru-baru ini dan telah dibuka kepada orang awam. Dengan pembinaan Jambatan Hassan Abas ini diharap mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM 2.04 juta untuk projek pembinaan jambatan kedua di Kampung Rawai, Negeri bagi menggantikan jambatan baharu ekoran jambatan lama yang usang.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN