Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka siap lebih awal

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JPP2) sepanjang kira-kira 24 kilometer membabitkan kos pembinaan berjumlah RM4.5 bilion dijangka siap lebih awal daripada dijadualkan iaitu pada November 2013.

“Sehingga Januari, sebanyak 70.87% telah siap iaitu 3.16% lebih awal dari perancangan asal iaitu 67.71%,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam sidang akhbar yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kebanyakan kerja-kerja pembinaan seperti kerja pembinaan superstruktur dan laluan ekspress di Batu Kawan dijalankan mengikut perancangan awal, malah, terdapat kerja-kerja pembinaan telah siap lebih awal daripada dijadualkan.

Projek pembinaan JPP2 adalah usahasama antara China Harbour Engineering Co. Ltd. (CHEC) dan United Engineers Malaysia (UEM) Builders Berhad yang dilantik oleh pemegang konsesi Projek Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dibawah Kementerian Kewangan (Minister of Finance Incorporated).

Projek yang telah mula pembinaannya pada 2008 itu dijangka siap pada November 2013 dan bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara.

Umumnya, pembinaan JPP2 yang menghubungkan Batu Maung di sebelah pulau dan Batu Kawan di Seberang Perai bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada, malah, akan melancarkan perjalanan trafik di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas (Bayan Lepas Industrial Park).

JPP2 merupakan jambatan pertama di dunia yang menggunakan bahan galas getah rendaman tinggi (HDRB) yang berupaya menyerap gegaran gempa bumi sekaligus melindungi struktur jambatan daripada kerosakan akibat gegaran gempa.