Jambatan rakyat RM25.8 juta pemangkin ekonomi Nibong Tebal

Admin

JAWI – Melihat potensi pengubah ekonomi Nibong Tebal, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membiayai pembinaan jambatan RM25.8 juta bagi menghubungkan Taman Victoria ke Tanjung Berembang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan jambatan berukuran 360 meter tersebut akan menyediakan akses cekap, selamat dan lebih baik kepada pengguna jalan raya termasuk peniaga serta pelancong berpotensi di kawasan itu.

“Oleh itu, pembinaan jambatan ini, yang mempunyai potensi sebagai peranan logistik dan ‘economic game changer’, akan menjadi satu dorongan kepada pembangunan di kawasan ini.

“Jambatan ini akan memudahkan lagi rangkaian ke hab pembuatan di Penang Science Park dan Bandar Cassia Batu Kawan berkonsepkan ‘Live, Work, Play, Learn’ dengan projek-projek ikonik seperti pusat membelibelah perabot IKEA, Kolej Universiti KDU serta pembangunan bercampur lain yang masih dalam perancangan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jambatan Baru Merentasi Sungai Kerian, Nibong Tebal, Sungai Kerian, Seberang Perai Selatan (SPS di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Kerja Raya, Utiliti Pengangkutan, Lim Hock Seng; ADUN Jawi, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Sr. Rozali Mohamud dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Disifatkan sebagai jambatan rakyat, Guan Eng memaklumkan bahawa projek yang bermula 18 Januari 2016 tersebut dijangka siap pada 17 Januari 2019.

Tambahnya, buat masa ini, terdapat sebuah jambatan kecil menghubungkan Taman Victoria ke Tanjung Berembang, dan hanya boleh dilalui oleh motosikal dan pejalan kaki.

Difahamkan, dengan siapnya projek berkaitan, perjalanan hampir 45 minit mampu dipendekkan sehingga 10 minit sahaja.