Sambutan Bulan-bulan al-Quran harap dimanfaatkan, wujud masyarakat harmoni – Exco Agama

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPAS – Pengisian pelbagai program ilmiah dan keagamaan sepanjang sambutan Bulan-bulan al-Quran diharap dapat melahirkan masyarakat Islam berkualiti daripada aspek fizikal dan kerohanian.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, bagi menghidupkan Bulan-bulan al-Quran, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun ini telah memperuntukkan perbelanjaan hampir RM350,000 dalam menjayakan sambutan tahun kesembilan ini.

“Sambutan Bulan-bulan al-Quran ini diadakan selama tiga bulan bermula pada bulan Rejab, Syaaban hingga ke Ramadan.

“Program-program yang dianjurkan ini mendapat sambutan cukup menggalakkan dari masjid, anak-anak kariah, penuntut institusi-institusi terpilih dan agensi-agensi yang terlibat sama.

“Pelbagai program diadakan sebagai pengisian Bulan-bulan al-Quran ini, seperti hafazan, talaqi al-Quran untuk kanak-kanak dan remaja, tahsin al-Quran untuk imam dan bilal, celik al-Quran di sekolah-sekolah terpilih, kelas bahasa Arab serta Seminar al-Quran yang diadakan pada 20 Mei lalu dengan tajuk Memahami Konsep Jihad, Persepsi dan Realiti,” ucapnya pada Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1438H/2017M dekat Masjid al-Huda di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Norazizah Harun; Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang) dan Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) hadir sama pada majlis sambutan tersebut.

Selain itu, sambutan Bulan-bulan Al-Quran turut dihiasi dengan Program Jelajah Ibrah al-Quran yang dijayakan penceramah terkenal, Ustaz Don Daniyal dengan tajuk Cetusan Cinta Dari al-Quran hasil kerjasama sembilan masjid dan 10 institusi di Pulau Pinang.

Justeru, Abdul Malik berharap program-program ilmiah yang dianjurkan dapat memanfaatkan sepenuhnya seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga berharap program-program ini akan mewujudkan masyarakat yang harmoni melalui penghayatan al-Quran secara holistik dalam kehidupan,” ujarnya.