Jambatan Valdor jangka dibuka Julai – Ketua Menteri

Admin

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi memberitahu bahawa projek pemajuan jambatan Valdor yang menyambungkan kawasan industri baharu di sini dengan kawasan industri Batu Kawan dijangka siap pada bulan Jun serta dibuka pada Julai ini.

Justeru, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berharap usaha agensi negeri berkenaan dapat menjadikan Batu Kawan serta kawasan di sekitarnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri pada masa depan.

“Ini merupakan usaha Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam melengkapkan kemudahan infrastruktur di Bandar Cassia Batu Kawan sebagai satu pusat pertubuhan sosio-ekonomi negeri Pulau Pinang yang penting,” jelasnya ketika mengadakan lawatan kerja dekat tapak pemajuan di sini pada 30 Mei 2020.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa ketika ini PDC turut melaksanakan beberapa projek infrastruktir lain seperti kerja-kerja pelebaran jambatan serta jalan raya di Bandar Cassia, Batu Kawan.

Selain itu, menurut beliau, PDC sedang giat melakukan perancangan serta projek pembangunan bercampur meliputi sektor perumahan, komersial dan institusi di Batu Kawan.

“Agensi negeri tersebut akan memperluaskan lagi projek-projek pembangunan industri dekat selatan Batu Kawan, iaitu di Ladang Byram.

“PDC sudah memulakan perancangan memperluaskan lagi kawasan industri Batu Kawan ke bahagian selatan Batu Kawan iaitu di kawasan Ladang Byram, dan kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan menjenamakan kawasan ini sebagai Taman Industri Batu Kawan 2 atau BKIP 2 @ Byram.

“Ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Negeri serta agensi Kerajaan Negeri masih proaktif, dan melihat kepada pandemik COVID-19, adalah diharapkan ia hanya membawa impak sementara dan apabila pulih kelak, PDC sudah siap-sedia untuk menyahut cabaran pada masa depan,” ujarnya yang juga Pengerusi PDC.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberi isyarat bahawa Putrajaya dalam masa terdekat dijangka mengumumkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang melibatkan nilai berbilion ringgit ke negeri ini nanti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : LAW SUUN TING