Jangan biarkan kanak-kanak ketagih gajet, nasihat Exco Wanita

JAWI – Masuk tahun ketiga Kerajaan Negeri menganjurkan Fiesta Sukan Komuniti & Keluarga 2017 di peringkat daerah, demi menggalakkan ibu bapa menyemarakkan lagi aktiviti kekeluargaan bersama-sama anak secara sihat.

Ketika berucap, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng melahirkan rasa bimbang dengan kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun yang dibiarkan bermain iPad atau telefon pintar lain sebagai pengganti ibu bapa atau pengasih, sehingga mengakibatkan ketagihan gajet elektronik.

“Sebenarnya acara permainan tradisonal seperti pertandingan kukur nyior untuk golongan ibu, berlari dalam guni untuk anak-anak serta acara-acara lain untuk bapa, yang dianjurkan dalam Fiesta Sukan Komuniti & Keluarga 2017 adalah kerana Kerajaan Negeri mahu menggalakkan lagi aktiviti kekeluargaan secara sihat.

“Walaupun ibu bapa terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja untuk menghadapi kos sara hidup yang kian meningkat, termasuk menanggung GST (Cukai Barangan & Perkhidmatan) yang begitu membebankan, janganlah kita melepaskan tanggungjawab dengan memberikan iPad atau telefon pintar sebagai pengganti, hingga anak-anak kecil jadi ketagih gajet dan hilang kreativiti untuk belajar hal-hal kehidupan lain yang lebih seronok, seperti acara sukan pada hari ini,” jelas Chong Eng.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu berkata demikian ketika merasmikan Fiesta Sukan Komuniti & Keluarga 2017 Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Padang Awam Jawi di sini pada 14 Oktober lalu.

Chong Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita (PWDC) turut menyampaikan mesej kebimbangan mengenai padah kanak-kanak ketagih gajet elektronik, dalam majlis fiesta berasingan peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) baru-baru ini.

Memetik satu laporan berita atas talian, Chong Eng memberitahu, Kajian Statistik Internet Dunia (Internet World Stats) mendedahkan, hampir 78.8 peratus pengguna internet di negara ini, terutama kanak-kanak mengalami ketagihan gajet
elektronik yang serius.

Justeru, tambah Chong Eng, ketagihan gajet jua boleh menyumbang kepada krisis kekeluargaan, apabila si anak yang asyik bermain iPad dan telefon pintar kian renggang dengan ibu bapa mahupun waris.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng menyatakan bahawa pihaknya meluluskan peruntukan untuk penganjuran fiesta di kelima-lima daerah pada tahun ini, dengan mengangkat tema ‘Saya Pulau Pinang’.

Katanya, kempen ‘Saya Pulau Pinang’ itu adalah sebagai protes kepada ucapan Menteri Wilayah, Tengku Adnan Tengku Mansor dalam Majlis Sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari lalu, yang menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi dekat negeri Kedah dan sebahagian negeri Melaka sebagai Wilayah Persekutuan baru.