Jangan biarkan kenyataan tidak bertanggungjawab jejaskan susana harmoni kaum, seru Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow menyeru rakyat negeri ini supaya bersatu-padu berdepan dengan cabaran terutamanya membabitkan kenyataan yang mampu menjejaskan perhubungan antara kaum dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

 

Menurutnya, sambutan Deepavali merupakan satu contoh perayaan yang membuktikan bahawa semua kaum sebenarnya boleh meraikan perayaan masing-masing dengan harmoni.

 

“Budaya seperti ini harus dikekalkan kerana melalui perayaan-perayaan ini, kita dapat memupuk persefahaman antara kaum di negara Malaysia tercinta ini.

 

“Kita tahu bahawa negara mempunyai banyak cabaran termasuk kenyataan negatif yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu, tetapi saya menyeru rakyat jelata supaya bersatu-padu menghadapinya.

 

“Jangan biar ia (kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab) menjejaskan suasana harmoni di antara kaum khususnya di negeri Pulau Pinang,” ucap beliau pada Majlis Perayaan Hari Deepavali 2019 di Little India dekat Lebuh King awal malam tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng dan Gerald Mak Mun Keong; Pengerusi Dewan Perniagaan India Malaysia Pulau Pinang, Datuk N. Gobalakrishnan dan Setiausaha Penganjur Sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019, J. Vikneshwaran.

 

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap semua kaum dan berikrar serta bertekad untuk menjaga kepentingan semua terutamanya dalam menikmati hasil pembangunan ekonomi negeri ini.

 

“Negeri Pulau Pinang telah mencapai prestasi ekonomi yang baik tahun ini, dan saya pasti ini adalah hasil usaha daripada semua pihak termasuk pelabur-pelabur, para peniaga, golongan profesional dan rakyat berbilang kaum yang telah menyumbang tenaga.

 

“Bagi memastikan negeri Pulau Pinang kian maju, sektor pendidikan, sosial, budaya dan agama juga adalah penting.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri senantiasa mengambil berat tentang program-program berkaitan di negeri ini supaya tenaga mahir dapat dicungkil daripada generasi muda hari ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Simbolik kepada ambang sambutan Deepavali yang bakal disambut 27 Oktober ini, Kon Yeow bersama-sama jawatankuasa-jawatankuasa penganjur dan wakil-wakil penaja turut menyalakan pelita Kuttu Vilaku.

 

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa melawat gerai-gerai dan premis-premis di sini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD