Jangan buat bayaran kepada atendan parkir haram – OCPD

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Sebagai langkah membasmi gejala atendan parkir haram di negeri ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penubuhan pasukan khas bagi memantau aktiviti pihak berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penubuhan yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu adalah bagi memantau aktiviti atendan parkir haram di seluruh negeri terutamanya membabitkan kawasan-kawasan panas seperti stesen keretapi Bukit Bendera, Padang Kota Lama, Jalan Penang, kawasan Megamall Perai dan lain-lain.

“Perkara tersebut akan dibincangkan dengan Ketua Polis Negeri supaya tindakan tegas dapat diambil bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang dan pelancong berasa selamat menjelang musim percutian,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan YDP MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai yang berdepan dengan atendan parkir haram supaya tidak membuat sebarang bayaran, sebaliknya hubungi PDRM di talian 04 – 218 1881 atau 04 – 269 1999.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan oleh Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha menyatakan bahawa pihaknya telah memasang papan tanda amaran di 12 lokasi panas sekitar pulau baru-baru ini.

“Papan tanda ini dilengkapi talian hotline Antarabangsa MPPP serta PDRM untuk memudahkan orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat aktiviti atendan parkir haram di lokasi-lokasi berkaitan.

Malah, anggota penguatkuasa juga ditambah kepada lapan kakitangan (asal empat) yang bertugas di lokasi-lokasi khas mengikut syif.

“Antaranya, Bukit Bendera, Persiaran Gurney, Jalan Macalister, Jalan Burma, Padang Kota Lama, Taman Free School, Taman Tun Sardon, Lebuh Chulia, Jalan Penang, Jalan Datuk Keramat, Jalan Jelutong dan Lorong Selamat,” jelas beliau di sini.

Tambah Mohamed Akbar, orang ramai yang berdepan dengan masalah berkenaan boleh menghubungi talian MPPP, 04 – 263 7637/04 – 263 7000.

Mengikut Seksyen 112, Akta Pengangkutan Jalan, Penguatkuasa MPPP tidak mempunyai kuasa untuk menahan atendan parkir
haram sebaliknya, hanya melaporkan kepada PDRM atau ‘menghalau’ pihak berkaitan.

Kuasa menangkap atendan parkir haram oleh MPPP hanya boleh dikuatkuasa seandainya MPPP diiktiraf sebagai Majlis Bandaraya dan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.