Jangan kecilkan pihak lawan, terus komited laksanakan gerak kerja kempen – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Meskipun dicalonkan sebagai calon boleh menang bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, namun Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokrasi (DAP) Kebangsaan, Chow Kon Yeow menyeru agar semua jentera parti Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang supaya tidak memandang rendah pihak lawan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang meminta supaya semua jentera PH meneruskan tekad dan komitmen dalam melaksanakan gerak kerja serta menjayakan kempen ‘Jom Keluar Undi, Selamatkan Malaysia’ bagi memastikan lebih ramai individu keluar mengundi pada hari pembuangan undi pada 19 November nanti.

WALAUPUN cuaca hujan pimpinan dan penyokong Pakatan Harapan tetap hadir pada majlis berkaitan di sini.

“Semalam, kempen bagi PRU-15 bermula sebaik sahaja selepas penamaan calon selesai, dan saya sendiri sudahpun telah memulakan kempen di beberapa kawasan di Bukit Tambun dan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan.

“(Begitu juga) pagi ini apabila saya mengadakan lawatan ke nadi bagi kawasan Perai iaitu Pasar Awam Chai Leng Park…namun, ini adalah permulaan (terhadap gerak kerja) yang masih ada 13 hari lagi untuk kita terus menggerakkan kempen.

Jangan kita memperkecilkan parti-parti lawan kerana mereka juga mempunyai sumber dan jentera yang kuat untuk memenangi undi.

“Jadi, saya berharap, pasukan kempen di Pulau Pinang termasuk dari rakan-rakan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengambil berat perihal kempen kali ini.

“(Dan) janganlah kita abaikan (gerak kerja) kempen ini, kerana kita mahu seramai mungkin pengundi keluar mengundi pada 19 November ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen P049 Tanjong dekat Jalan Burma di sini pada 6 November 2022.

ANTARA pimpinan parti yang hadir pada Majlis Pelancaran Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen P049 Tanjong dekat Jalan Burma di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II; calon baharu bertanding bagi Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; calon Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP; calon Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; calon Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer; calon Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; barisan kepimpinan DAP Negeri Pulau Pinang termasuk dalam kalangan ADUN dan Ahli Majlis dari pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Pada majlis sama, Kon Yeow yang juga mantan Ahli Parlimen Tanjong menzahirkan penghargaan kepada pengundi di kawasan tersebut.

“Terima kasih kerana memberi sokongan kepada saya sejak tahun 1999 apabila pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjong.

Terima kasih juga kepada semua terutama pengundi yang memudahkan perjalanan politik saya di Tanjong.

“Walaupun kali ini saya berjuang di Batu Kawan, saya masih ada di Padang Kota dan sesiapa juga yang memegang sebagai wakil rakyat di sini, saya yakin beliau akan meneruskan perjuangan pimpinan dahulu serta menambah kekuatan kita di sini.

“(Dan) saya percaya pengundi faham serta akan memberikan sokongan padu setelah tanggungjawab kini diletakkan di bahu Lim Hui Ying iaitu calon untuk Parlimen Tanjong pada PRU-15,” katanya yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada Hui Ying.

Bercakap mengenai persediaan pada peringkat Pusat, Kon Yeow memberitahu bahawa pada PRU-15 ini, PH telah mencapai konsensus dan ia bakal menjadi faktor yang penting dalam memantapkan sokongan rakyat.

PH pada peringkat Pusat, seperti yang dimaklumkan oleh rakan-rakan pimpinan parti lain, mewakili keterangkuman semua aspek termasuk mereka dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) serta latar belakang agama dan kaum.

“Berilah PH peluang untuk mengambil alih (pentadbiran pada peringkat Pusat) bagi tempoh penuh lima tahun kerana banyak yang telah PH capai walaupun dalam tempoh singkat 22 bulan, dan percayalah bahawa PH mampu melakukan yang lebih baik jika memenuhi mandat untuk tempoh lima tahun,” tegas calon Parlimen Batu Kawan itu sambil melaungkan laungan keramat ‘Kita Boleh’.

Walaupun dalam keadaan hujan, masih ramai dalam kalangan pimpinan dan penyokong hadir pada majlis berkaitan di sini.