Jangan letak halangan berhampiran tong sampah MBSP, tegas Datuk Bandar

dsc 5305

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid menyeru kerjasama penduduk Seberang Perai untuk tidak meletakkan sebarang halangan berhampiran tong sampah milik pihak berkuasa tempatan itu (PBT).

Beliau berkata, perbuatan meletakkan halangan berhampiran tong sampah MBSP akan menjejaskan perkhidmatan pengangkutan sampah (PPS) terutamanya di kawasan taman perumahan berstrata, perumahan bertanah serta pasar awam dan kompleks makanan.

“Hasil pemantauan di lapangan menunjukkan banyak kenderaan yang diletakkan di laluan kawasan kutipan sampah terutamanya di kebuk atau rumah sampah sehingga menyukarkan kerja-kerja PPS dijalankan oleh Wira Oren.

“Isu ini juga telah menjejaskan jadual kutipan dan tahap kebersihan di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh KalinKe-618 Bil. 12/2015 dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 18 Disember 2025.

9 12 18 15 1

Baderul Amin berkata, MBSP juga mendapati bahawa terdapat pemilik kediaman di kawasan taman perumahan bertanah yang meletakkan pelbagai halangan di atas longkang dan di tepi parit terutamanya di lorong belakang.

“Meletakkan halangan seperti pasu bunga, kenderaan, kanopi, khemah berniaga, meja, rak serta pelbagai halangan lain di atas longkang dan di tepi parit telah menyukarkan kerja-kerja pemeriksaan am (KPA) dijalankan oleh MBSP.

“Selaij itu, keadaan ini menghalang aliran air dan boleh mengakibatkan banjir kilat serta mencetuskan isu kacau ganggu terhadap penduduk setempat.

“Sehubungan itu, MBSP menasihatkan semua penduduk supaya memastikan laluan pembersihan sentiasa bebas daripada sebarang halangan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan,” serunya.

Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh MBSP juga mendapati terdapat ramai peniaga yang meletakkan barang niaga, tong, meja, serta objek lain di laluan pejalan kaki dan koridor pasar.

“Malah, terdapat kenderaan yang diletakkan di laluan kawasan kutipan sampah terutamanya di kebuk atau rumah sampah sehingga menyukarkan kerja-kerja PPS dijalankan.

“Halangan ini bukan sahaja menjejaskan pergerakan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung pasar awam dan kompleks makanan, malah turut menyukarkan kerja-kerja pembersihan.

“Oleh itu, semua peniaga diingatkan untuk mematuhi dan hanya menggunapakai ruang niaga yang telah ditetapkan sahaja dan memastikan ruang kebuk sampah di kawasan Pasar Awam dan Kompleks Makanan tiada halangan kenderaan,” katanya.

Baderul Amin berkata beberapa premis termasuk kawasan perumahan, premis perniagaan, sekolah serta bangunan komersial tidak menyediakan tong sampah yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh MBSP.

Bukan itu sahaja menurutnya, tahap kebersihan di kawasan sekeliling tong sampah atau rumah sampah juga berada dalam keadaan yang tidak terurus.

“Keadaan ini menjejaskan kelancaran jadual kerja kutipan PPS serta berpotensi menimbulkan risiko pencemaran dan pembiakan haiwan pemusnah serta penularan penyakit berjangkit.

“Sehubungan itu, MBSP berharap agar setiap pemilik atau individu bertanggungjawab dalam memastikan segala spesifikasi dan dasar majlis dipatuhi,” serunya.

Baderul Amin berkata, kegagalan mematuhi undang-undang yang ditetapkan membolehkan seseorang pemilik kenderaan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

“MBSP sentiasa memastikan penguatkuasaan dilaksanakan melalui pengeluaran notis dan kompaun terhadap pemilik kenderaan, JMB atau MC di kawasan perumahan berstrata yang didapati menghalang laluan kutipan sampah.

“MBSP tidak akan melaksanakan kutipan PPS dan kerja-kerja KPA di kawasan berkenaan sehingga halangan tersebut dialihkan sepenuhnya.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas juga akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi arahan notis halangan ini.

“Bagi tahun 2025, MBSP telah memgeluarkan sebanyak 120,000 notis kesalahan dan jumlah kompaun bernilai RM1,638,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP