Jangan ragu-ragu ambil suntikan vaksin COVID-19, kata ADUN

Admin

JAYAKAN PROGRAM IMUNINASI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim menasihati orang ramai supaya tidak merasa ragu untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata demikian kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Jalan Perak dekat George Town semalam.

“Jangan fikir terlalu banyak, hanya perlu ambil suntikan ini untuk mengurangkan risiko dijangkiti,” serunya lagi.

Lim Siew Khim menerima suntikan vaksin COVID-19 dekat Klinik Kesihatan Jalan Perak, semalam.

Berkongsi pengalaman sebagai individu terawal yang menerima suntikan, Siew Khim memberitahu bahawa suntikan vaksin COVID-19 yang diterima beliau tidak menyebabkan sebarang rasa sakit.

“Jika kita gementar, mungkin kita akan rasa sakit sedikit semasa disuntik tetapi jika kita lebih tenang suntikan ini langsung tidak menyakitkan bahkan ia sama seperti suntikan biasa yang pernah kita ambil.

“Malah, saya juga dimaklumkan oleh pihak kesihatan bahawa saya tidak perlukan apa-apa rawatan susulan selepas menerima suntikan ini sekiranya tidak mengalami gejala atau tindak balas yang serius.

“Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang mengalami tidak balas yang serius selepas menerima suntikan, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor di hospital tetapi jika demam biasa hanya perlu ambil Paracetamol sahaja,” katanya.

Menurut Siew Khim, beliau menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas mendaftar di aplikasi MySejahtera pada Rabu lalu (24 Februari 2021) dan dipanggil untuk menerim suntikan pada hari ini.

“Sepertimana yang dimaklumkan oleh YB Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan), wakil rakyat adalah termasuk dalam senarai penerima vaksin bagi fasa pertama bersama-sama pasukan barisan hadapan yang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara berkesempatan mendapatkan pandangan orang awam mengenai peri pentingnya pengambilan vaksin dalam menyokong usaha kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.

Nurul Najwa Othman.

Pekerja swasta, NURUL NAJWA OTHMAN, 27, berpandangan bahawa adalah penting untuk semua rakyat di negara ini mengambil suntikan vaksin COVID-19 bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok sebagaimana yang disasarkan oleh kerajaan.

“Imuniti kelompok ini penting untuk membolehkan semua aktiviti ekonomi termasuk sektor pelancongan yang terkesan teruk dek penularan pandemik COVID-19 boleh berjalan seperti biasa sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika hanya sebahagian sahaja daripada rakyat Malaysia yang mengambil suntikan vaksin COVID-19 ini, matlamat untuk mencapai imuniti kelompok akan gagal dan keadaan ini menyebabkan kemerosotan ekonomi yang berpanjangan. Keadaan ini tidak baik untuk rakyat.

“Justeru, saya sendiri telah mengambil tanggungjawab mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dan sudahpun bersedia untuk menerima suntikan pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.

Siti hajar Abdul Rahim.

Seorang lagi responden, SITI HAJAR ABDUL RAHIM, 37, yang merupakan seorang penjawat awam juga bersetuju bahawa adalah penting untuk semua rakyat di negara ini mengambil suntikan vaksin dalam mencegah risiko jangkitan virus COVID-19.

“Pengambilan vaksin sangat penting dalam memastikan diri kita dan orang lain dilindungi daripada risiko jangkitan selain menyokong usaha kerajaan dalam melawan COVID-19.

“Saya harap rakyat Malaysia tidak bersifat pentingkan diri sendiri dengan menolak pengambilan suntikan vaksin ini kerana ia akan menjejaskan banyak pihak.

“Berkenaan impak negatif selepas suntikan vaksin COVID-19 pula, saya kira kita tidak perlu bimbang kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah banyak kali mengulangi jaminan bahawa vaksin yang dibeli kerajaan adalah selamat,” tegasnya lagi.

Dr. A. Sujithra Devi.

Nada sama turut diutarakan oleh pengarah akademik, DR. A. SUJITHRA DEVI yang menyatakan bahawa vaksinasi merupakan cara yang paling berkesan untuk melawan jangkitan pandemik COVID-19 daripada terus merebak.

“Suntikan vaksin pada dasarnya akan meningkatkan tindak balas sistem imun badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan.

“Selain dapat menjaga diri sendiri, suntikan vaksin COVID-19 juga dapat melindungi orang lain dalam komuniti kita sekaligus mengurangkan jangkitan virus ini terhadap kumpulan yang berisiko.

“Justeru, saya sendiri telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera,” ujarnya yang merupakan seorang pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang bioterapeutik.

Abdul Wahab Adzmi.

Dalam pada itu, ABDUL WAHAB ADZMI, 43, pula berpendapat bahawa kerajaan perlu memperhebatkan lagi kempen mengenai vaksinasi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

“Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai pentingnya pengambilan vaksin khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang masih percaya bahawa suntikan vaksin akan mendatangkan kesan mudarat yang serius dan menyebabkan mereka takut untuk mengambil vaksin COVID-19 ini,” katanya lagi.

Yeoh Kee Chai.

Juruaudit, YEOH KEE CHAI, 37, bagaimanapun berkata bahawa beliau masih berasa ragu untuk menerima suntikan vaksin kerana jaminan keselamatan yang diberikan oleh pihak kerajaan masih belum cukup meyakinkan.

“Saya faham bahawa vaksinasi itu penting bagi kita semua dan saya sedar bahawa negara-negara lain juga sudah memulakan proses vaksinasi mereka.

“Namun, saya menghadapi sedikit dilema mengenai program vaksinasi ini kerana saya masih ragu-ragu untuk divaksin. Saya berharap agar pihak berkuasa dapat memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, saya mempunyai ibu bapa yang sudah tua untuk dijaga dan saya satu-satunya anak lelaki. Oleh itu, pihak berkuasa harus merangka rancangan pampasan sekiranya timbul sebarang masalah selepas pengambilan vaksin COVID-19 ini,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING