MACHANG BUBUK – Rakyat, termasuk mahasiswa, dinasihat supaya tidak terpengaruh dengan politik kebencian yang disemarakkan oleh ejen parti pembangkang, iaitu konon-kononnya Malaysia kini bukan lagi sebuah negara berdaulat susulan memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lepas.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim berkata bahawa pentadbirannya akan terus mempertahankan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara dagang yang berdaulat demi memakmurkan ekonomi rakyat di samping memastikan mereka yang bekerja dengan syarikat multinasional (MNC) dari Amerika Syarikat di tanah air ini tidak hilang kerjaya.
“Kita (Kerajaan Persekutuan Malaysia) memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat, itu tidak bermakna kita tak boleh buat (perjanjian perdagangan dengan) negara lain, termasuk (Republik Rakyat) China.
“Dalam Persidangan ASEAN-Malaysia, betul ada diundang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kita juga undang pemerintah dari (Republik Rakyat) China.
“(Bukan setakat itu sahaja,) kita turut mengundang dua pemimpin negara yang memang tidak disenangi Amerika Syarikat, iaitu Presiden Brazil, (Luiz Inácio Lula da Silva) dan Presiden Afrika Selatan (Cyril Ramaphosa).
“Pembangkang nak mengkritik saya? Kritiklah. Saya tiada masalah, tetapi, kita (sebagai Kerajaan Persekutuan) mesti jawab supaya maklumat sampai (ke pengetahuan rakyat),” jelasnya yang juga Menteri Kewangan semasa berucap dalam Majlis Perasmian Komuniversiti Kolaborasi di padang awam, Jalan Kampung Kolam dekat sini pada 8 November 2025.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak, menyatakan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat akan memenuhi jemputan ke Perhimpunan G20 Afrika, sungguhpun tindakan itu mungkin bakal menggamit reaksi tertentu susulan pemeteraian ART dengan AS.
Berucap sebelum itu, Naib Canselor USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) selaku rakan penganjur bersama program Komuniversiti Kolaborasi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudos Mohd. Naaim antara pemimpin yang turut serta dalam program ‘anak angkat siswa’ bersama-sama komuniti kampung lokal.
Dalam acara berasingan sebelum itu, Anwar bersama-sama Kon Yeow turut meluangkan masa dengan melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad dekat Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Permatang Pauh.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD