Janji ditepati, projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) dibuka

PAYA TERUBONG – Projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang secara rasminya dibuka pada pagi ini merupakan projek kemudahan infrastruktur awam yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang demi kepentingan penduduk serta komuniti sekitar.

 

 

Ini adalah dengan mengambil kira pembangunan pesat di kawasan ini yang memerlukan sistem jalan raya lebih baik bagi menampung aliran trafik kawasan sekitar.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembinaan projek jalan sepanjang 3.825 kilometer (km) dan setinggi 61.5 meter yang menelan belanja terbesar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjumlah RM378.2 juta berkaitan akhirnya dibuka kepada aliran trafik.

 

 

“Tempoh enam tahun perancangan dan juga pembinaan bukanlah satu tempoh yang mudah kerana sepanjang proses tersebut, Kerajaan Negeri berdepan dengan kritikan, kecaman dan lain-lain sehinggalah berjaya menyiapkan projek ikonik ini kini.

 

 

“Sebenarnya projek ini ada tiga bahagian, dua bahagian lagi ditanggung oleh pihak pemaju (PLB Land Sdn. Bhd. dan Geo Valley Sdn. Bhd.) kerana jajaran-jajaran tersebut perlu melalui tanah pembangunan masing-masing, manakala pihak PLB Land Sdn. Bhd. telah memulakan projek serta mencapai kemajuan kira-kira 20 peratus. Ini merupakan di bawah tanggungan mereka (pemaju) dan ia dijadualkan siap pada tahun 2025.

 

 

“Dalam pada itu, bahagian terakhir adalah di bawah seliaan Geo Valley Sdn. Bhd. yang mana bakal memajukan tanah berkenaan dengan syarat menyambung laluan tersebut ke Lebuhraya Thean Tek yang telah dilebarkan oleh MBPP sebelum ini,” ujarnya sejurus merasmikan pembukaan Projek Pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong di sini.

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dan barisan ADUN Kerajaan Negeri.

 

 

Turut serta, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Geo Valley Sdn. Bhd. masih tidak dapat memulakan projek terbabit ekoran menunggu beberapa kelulusan lanjut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

 

“Sekiranya kes di Lembaga Rayuan telah selesai, Geo Valley (Sdn. Bhd.) turut komited untuk memulakan dan menyiapkannya pada tahun 2025.

 

 

“Latar belakang projek ini memang penuh rintangan dan cabaran, namun demi menangani kesesakan lalu lintas, maka terlaksanalah projek ini,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Menjawab soalan pemberita mengenai bajet yang disifatkan agak besar bagi sesebuah PBT, Kon Yeow menyatakan bahawa perbelanjaan adalah dilaksanakan secara tahunan dan berperingkat-peringkat.

 

Sementara itu, dalam sidang media sama, Rajendran turut mengulas mengenai isu keselamatan projek berkaitan yang sering dibangkitkan sebelum ini.

 

 

“Jalan ini direka mengikut piawaian Malaysia Standard (MS) yang mana kawalan had laju, radius selekoh, ‘central island’, laluan jalan kaki, saliran perparitan dan lain-lain adalah diambil kira.

 

 

“Selain itu, projek ini juga memperoleh khidmat perundingan daripada syarikat berpengalaman membabitkan aspek reka bentuk di lebih 300 cerun dalam negara.

 

 

“Kami (MBPP) juga melantik pakar geologi untuk mengkaji cerun secara spesifik dan memberi saranan terhadap tahap keselamatan. Sebagai tambahan, dalam melengkapkan lagi aspek keselamatan, MBPP turut mendapatkan khidmat jurutera audit keselamatan bebas yang bertauliah,” jelasnya.

 

 

Difahamkan, Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) merupakan jalan raya tertinggi dalam negara mengatasi Rawang Bypass sebanyak dua meter.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN