Janji Manifesto PRU14 ‘Perumahan Untuk Semua’, Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya dilunaskan – Exco

Admin
JAGDEEP Singh Deo.

GEORGE TOWN – Menjelang 73 hari pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya melunaskan janji-janji yang terkandung bawah ‘Perumahan Untuk Semua’ di dalam Janji Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Perkara itu dinyatakan sendiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

Menurut beliau, dalam aspek pembekalan rumah di Pulau Pinang, seperti yang terkandung dalam manifesto, sebanyak 75,361 unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik dijanjikan akan dibina.

“Namun, selepas PRU14, iaitu hari ini, rekod yang diberikan oleh Bahagian Perumahan menunjukkan 80,604 unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik akan ditawarkan kepada rakyat mencakupi 28,442 unit yang telah siap dibina, 22,065 unit sedang dibina dan 30,097 unit lagi telah diberikan kelulusan untuk dibina. Hal ini menunjukkan dalam aspek pembekalan rumah, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang telah tunaikan.

“Selain pembekalan rumah, aspek kedua iaitu penyelenggaraan juga telah ditunaikan apabila sejak 2013 sehingga Julai 2018, sebanyak 162 permohonan telah diluluskan dengan kos mencecah RM23.33 juta merangkumi 267 projek penyelenggaraan pelbagai dan pada masa sama, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan meneruskan program di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP),” ujarnya.

JAGDEEP Singh Deo (berkot biru) menunjukkan Manifesto PRU14 Pakatan Harapan Pulau Pinang yang telah berjaya dilunaskan.

Apabila ditanya mengenai Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), Jagdeep berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama-sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Putrajaya baru-baru ini berhubung isu berkaitan.

“(Dan) beliau (Menteri) berjanji, pihaknya akan meneruskan inisiatif tabung penyelenggaraan tersebut meskipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatihir Mohamad membuat saranan agar ia dijenamakan semula.

“Beliau (Menteri) juga akan menyemak status permohonan terdahulu yang masih belum diluluskan untuk negeri Pulau Pinang, iaitu baki daripada 143 permohonan dan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sendiri telah mengesahkan bahawa sejak 2016, tidak ada satupun permohonan diluluskan untuk Pulau Pinang,’’ katanya.

Bagi janji manifesto untuk membina projek perumahan awam untuk disewa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun berbincang dengan Menteri berwajib supaya dua projek perumahan rakyat di Mak Mandin, Butterworth dan Kampung Tok Subuh, Simpang Ampat di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Di Mak Mandin, terdapat 70 unit dan di Kampung Tok Subuh 231 unit siap dibina, justeru, kita (Kerajaan Negeri) memohon supaya ia diberikan kepada kita dengan syarat kita akan menggunakan kaedah sewa dan beli.

“Kaedah sewa dan beli ini akan membolehkan rakyat berpendapatan rendah (akhirnya) akan memiliki rumah dengan kadar sewaan yang minimum, dan secara prinsipnya, Menteri (Perumahan dan Kerajaan Temapatan) iaitu Zuraida telah bersetuju.

“(Dan) sekiranya ia dipersetujui kelak, maka janji-janji Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam Manifesto PRU14 bagi perumahan untuk semua sudah ditepati dan ditunaikan…saya yakin!” tegasnya yang turut berharap agar kaedah sewa dan beli berkenaan mampu menyelesaikan masalah kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi.

Sebagai rekod, Pakatan Harapan Pulau Pinang telah berjanji untuk menyediakan 75,361 unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik termasuk meneruskan TPM80PP dan penyelenggaraan di semua skim perumahan awam serta membina projek perumahan rakyat untuk disewakan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING