Jasa syarikat korporat, NGO bantu penduduk negeri ketika PKP dikenang – Kon Yeow

Admin

BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow petang tadi memberitahu bahawa pentadbirannya amat berterima kasih dengan segala jasa pihak syarikat korporat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk negeri yang terjejas sepanjang tempoh pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan yang berlangsung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung, melalui Pusat Khidmat Rakyat Dato’ Abdul Halim Hussain.

“Serentak itu, majlis ini turut diadakan untuk meneruskan program penyampaian pek barangan makanan serta keperluan dapur kepada rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 sehingga membawa kepada pelaksanaan PKP,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) dalam majlis penyampaian pek bantuan barangan makanan kepada 20 penerima dekat Flat Desa Kayu Manis di sini pada 12 Mei 2020.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melancarkan Kempen Lawan COVID-19 termasuk program pengagihan pek bantuan makanan melalui Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negeri ini.

Ketika itu, ulas beliau, banyak NGO dan syarikat-syarikat korporat turut tampil mengambil bahagian dalam menyalurkan sumbangan kepada semua sektor rakyat yang terjejas dan anggota-anggota barisan hadapan.

Berucap pada majlis sama, Abdul Halim yang juga ADUN Batu Maung menyatakan bahawa sehingga kini, kira-kira 2,000 pek barangan makanan keperluan asas telah diagihkan secara berperingkat kepada penduduk setempat yang terjejas.

Selain itu, beliau yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Keusahawanan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengasas syarikat Yusof Taiyoob, Datuk Seri Yusof Taiyoob serta wakil syarikat Gaya Abadi Enterprise, Yazid Ghazali.

Sepanjang tempoh PKP, menurut Abdul Halim, kedua-dua pihak berkenaan merupakan antara
penyumbang yang banyak mengambil bahagian dalam membantu penduduk Batu Maung yang terjejas dek COVID-19.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada firma guaman Ong & Associates; Setiausaha Honorary Consulate (Wilayah Utara), Manisha Lynn dan wakil syarikat One Two There Culture Media Sdn. Bhd., Nick Ng Shu Lin atas sumbangan pelbagai bentuk bantuan untuk penduduk setempat.

KETUA Menteri (tengah) menyaksikan Abdul Halim Hussain (kanan) menyerahkan cek sumbangan bantuan kepada V. Girithren Pertubuhan Rumah Kebajikan Seri Cahaya Pulau Pinang pada petang tadi di sini.

Dalam majlis berasingan selepas itu, Abdul Halim turut mengiringi Kon Yeow melawat Pertubuhan Rumah Kebajikan Seri Cahaya Pulau Pinang dekat Lintang Permatang Damar Laut, di sini.

Pada lawatan berkaitan, beliau menyerahkan cek bantuan RM1,000 kepada wakil pertubuhan, V. Girithren untuk program-program sokongan kebajikan kepada kanak-kanak di sini bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN