Jawatankuasa Bertindak Kecemasan Khas bakal ditubuh bagi memantau projek infrastruktur di bawah PTMP – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa satu Jawatankuasa Bertindak Kecemasan Khas akan ditubuhkan bagi mengendalikan projek-projek infrastruktur di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan berfungsi untuk memantau dan memastikan Pelan Tindak Balas Kecemasan bagi projek-projek berkaitan dilaksanakan secara berkesan.

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan sedia ada termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, hospital, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi teknikal yang berkaitan,” katanya semasa sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee berhubung rancangan pengurusan risiko, kecemasan dan krisis semasa pelaksanaan projek-pojek mega seperti PTMP.

Beliau sebelum itu, turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga akan menyediakan Pelan Tindak Balas Kecemasan secara terperinci semasa fasa pembinaan dan operasi projek-projek mega seperti yang disyaratkan oleh agensi berwajib.

“Pelan ini disediakan selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) yang akan merangkumi beberapa situasi sepanjang pelaksanaan projek seperti kerosakan peralatan, kecuaian manusia atau bencana alam.

“Hal ini penting bagi menjaga kepentigan orang awam daripada segi aspek keselamatan, kesihatan dan juga alam sekitar yang disebabkan oleh kemalangan atau bencana alam,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam pada itu, semasa menjawab pertanyaan oleh ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengundang mana-mana institut pengangkutan antarabangsa bagi memantau pelaksanaan PTMP.

“Secara rasmi, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menjemput badan-badan sedemikian untuk memantau atau meneliti apa yang dirancangkan,” jelasnya.

Terdahulu, Norlela dalam soalan tambahannya bertanyakan sama ada Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengambil kira pandangan daripada institusi pengangkutan antarabangsa dalam pelaksanaan PTMP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING