SERAMAI 400 peserta terdiri daripada 340 pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga daripada 20 sekolah menengah di Pulau Pinang menyertai Program Jejak Itam: Didik Hibur Memperkasa Resilien Murid Negeri Pulau Pinang 2026 di TGV Cinema, 1st Avenue di sini, semalam.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dengan kerjasama Rotary Club of Penang dan Rotary Club of Penang Strait itu menggunakan tayangan filem pendek Itam: A Sun Bear Story sebagai medium pembelajaran bagi memperkukuh kesejahteraan mental, emosi dan sahsiah pelajar.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa inisiatif tersebut bertujuan membina resilien, memupuk empati serta menyemai nilai kasih sayang, keberanian dan ketabahan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental dan pemeliharaan alam sekitar.
Di samping itu, bagi menilai keberkesanan program, semua peserta perlu melengkapkan instrumen penilaian pra dan pasca yang dibangunkan oleh Unit Hal Ehwal Murid, JPN Pulau Pinang meliputi empat domain utama iaitu resilien, empati, kesedaran alam sekitar dan niat bertindak.


Gambar: ROTARY CLUB OF PENANG