Jejantas pejalan kaki mesra OKU, warga emas siap hujung September – Exco

KEBUN BUNGA – Kerja-kerja pembinaan struktur jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Jalan Fettes dan Jalan Seri Tanjung Pinang berhadapan Pusat Perniagaan Prima Tanjung (PTBC) dekat sini telah siap.

Walau bagaimanapun, menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, jejantas sepanjang 38 meter dengan ketinggian 9 meter itu masih belum mendapat kelulusan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

 

Pihak kontraktor berwajib tidak menghalang orang awam untuk menggunakan jejantas tersebut yang mana dijangkakan akan siap sepenuhnya pada akhir bulan September ini.

JEJANTAS pejalan kaki yang siap dibina ini merentasi Jalan Tanjung Tokong.

 

“(Hal ini demikian kerana) pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melaksanakan pemasangan kabel dan meter untuk ‘menghidupkan’ lif bermula 7 hingga 8 September ini.

 

“Seterusnya, jurutera lif akan melaksanakan ujian bagi mendapatkan kelulusan operasi daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk Perakuan Mesin Angkat (PMA),” ujarnya ketika dihubungi oleh wartawan Buletin Mutiara.

 

JEJANTAS pejalan kaki yang selesa dan bercirikan moden.

 

Selain mempunyai ciri-ciri moden dengan reka bentuk yang memberi pemandangan menarik, perkara paling utama jelas Zairil adalah ciri-ciri keselamatan yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

 

Jejantas pejalan kaki ini dilengkapi dengan lif di kedua-dua bahagian (Jalan Fettes dan Jalan Seri Tanjung Pinang) untuk digunakan.

 

“Secara tidak langsung, jejantas ini juga telah menyelesaikan isu keselamatan jalan raya yang mana sebelum ini menimbulkan kesukaran bagi pejalan kaki untuk menyeberangi Jalan Tanjung Tokong.

 

“Tidak hanya itu, jejantas ini juga telah mengurangkan fasa lampu isyarat pejalan kaki dan membantu mempercepatkan kitaran lampu isyarat bagi kenderaan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan ini,” ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga itu lagi.

 

KEMUDAHAN seperti lif disediakan di kedua-dua bahagian demi keselesaan semua pengguna.

 

Terdahulu, ketika mengadakan tinjauan rambang selama 30 minit di lokasi, didapati masih terdapat segelintir pejalan kaki yang menggunakan laluan di jalan raya tersebut tanpa mengendahkan kemudahan yang disediakan.

 

Dari sudut lain pula, rata-rata pengguna kali pertama yang ditemui, menzahirkan rasa gembira dan memuji inisiatif membina fasiliti demi keselamatan pejalan kaki pelbagai peringkat umur.

 

Difahamkan, kos keseluruhan bagi pembinaan jejantas pejalan kaki berkaitan adalah berjumlah RM2,088,157.53.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT