Jelajah Parlimen Bukit Bendera dekati komuniti, santuni golongan memerlukan

Admin

AIR PUTIH – Menyedari impak pandemik COVID-19 kepada pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri akan sedaya upaya membantu meringankan beban rakyat.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada sesi Jelajah Parlimen Bukit Bendera peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih di kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di sini sebentar tadi.

 

“Kerajaan Negeri memahami situasi ekonomi yang masih kurang baik setelah dua tahun kita dilanda pandemik COVID-19.

 

“Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri) akan berusaha sedaya upaya mengurangkan beban rakyat terutamanya melibatkan golongan B40.

 

“Seperti hari ini, seramai 150 penerima dari komuniti setempat terpilih menerima bantuan Mutiara Food Bank berupa sayur-sayuran dan pek barangan keperluan harian demi meringankan beban pembelian keperluan yang semakin meningkat harganya kini,” ujarnya ketika menyantuni komuniti di kawasan berkaitan.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Senator, Lim Hui Ying dan MPKK setempat.

 

Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang telah memberi mandat selama 15 tahun kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH).

 

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan di dalam komuniti, bolehlah segera berhubung dengan MPKK setempat mahupun pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencari jalan penyelesaian,” serunya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Sesi jelajah berkaitan kemudian ke KADUN Tanjong Bunga yang mana ADUNnya yang juga Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari telah mengadakan lawatan ke Masjid Karwa, Masjid Tuan Guru, Kampung Tanjung Bunga, lawatan ke Balai Polis Batu Feringghi serta Kebun Komuniti Sungai Emas.

 

Di Kampung Tanjung Bunga, Kon Yeow bersama-sama delegasi menyampaikan sumbangan berupa cek kepada Adnan Othman, 62, iaitu seorang nelayan yang kini tidak dapat bekerja ekoran terlibat kemalangan baru-baru ini.

 

Turut menerima bantuan ialah Ahmad Ismail, 80, iaitu berupa bakul makanan, lampin pakai buang dan tilam kalis air.

Di Balai Polis Batu Feringghi, dua unit komputer baharu disumbangkan kepada Timbalan Ketua Balai, Sarjan Roslin Tahari.

Siri jelajah berakhir dengan lawatan di kebun diusahakan MPKK Sungai Emas dengan kepelbagaian tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan herba. Selain menikmati tanaman organik yang diusahakan, Kon Yeow dan barisan delegasi  turut disajikan dengan buah-buahan serta minuman segar.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NUR ATIKAH RAHMAT