Jelajah Sedia Mendengar ke projek infrastruktur unik Pulau Tikus

Oleh : WATAWA NATAF ZULKILI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

MUNGKIN di Jalan Burma sahaja terdapat ruang awam yang begitu unik, moden dan menarik, dengan hiasan arca lembu, buaian, meja istirehat yang dikelilingi landskap pokok renek begitu indah.

Demikian seloroh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dalam program Jelajah Sedia Mendengar Chow
Kon Yoew, sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir ke sini baru-baru ini.

Menurut Soo Huey, projek tersebut merupakan hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak swasta bersama-sama pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus.

“Saya mengalu-alukan pihak MBPP untuk menaik taraf ruang-ruang pejalan kaki dan bahu jalan di bawah seliaan majlis untuk diperindahkan begini.

“Selain pemandangan yang cantik, ianya juga berfungsi sebagai ‘penyejuk’ (menenangkan) tekanan kepada kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna jalan ini,” katanya kepada pemberita.

Jelajah Kon Yeow turut ke Lengkok Burmah, untuk mendengar sendiri masalah penduduk setempat Kampung Sireh di atas tanah milik MBPP.

Bercakap kepada pemberita, beliau berharap situasi ‘menang-menang’ boleh segera dicapai oleh penduduk, penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya rasa tindakan jangka pendek masih diperlukan dalam membantu penjaja di kawasan ini yang sudah lama berniaga di sini, selama mana tiada perancangan pembangunan tetap yang ingin dijalankan.

“Menentukan masa depan kawasan ini sebenarnya menjadi isu pokok.

“Saya akan mengajak Datuk Bandar bagi MBPP (Dato’ Maimunah Mohd. Sharif) dan Setiausaha Bandaraya (Ar.) Yew Tung Seang mengadakan lawatan ke sini juga,” ujarnya.

Bagi Soo Huey sendiri, kemudahan asas setempat perlu dinaik taraf lagi, sebagai pelan jangka pendek untuk para peniaga di Lengkok
Burma.

“Kita dapat lihat lantai ruang peniaga yang berlumpur, tandas awam juga tidak diselenggara dengan baik.

“Di sebelah ini juga ada taman poket, namun kelihatan rumput tidak dijaga rapi, di samping kawasan lapang yang tidak sesuai digunakan untuk apa-apa aktiviti.

“Saya seru kepada MBPP agar dapat memperbaharui landskap di kawasan berkaitan untuk mempertingkatkan fungsinya kepada
masyarakat setempat,” jelasnya.

Sebelum itu, Soo Huey di Taman Kristal mencadangkan sebidang lot tanah terbiar dikembalikan kepada PBT, memandangkan pemaju berwajib gagal membina pasar di sini.

“Saya difahamkan pemaju tersebut telah muflis, jadi jika dibiarkan kosong ianya memberi tanggapan negatif.

“Tambahan pula, saya dapat aduan aktiviti tidak sihat seperti penggunaan dadah turut berlaku di situ.

“Justeru saya ingin memohon MBPP mengambil balik tanah tersebut dan membangunkan projek-projek yang boleh beri manfaat kepada masyarakat.

Mendirikan pasar dilihat tidak sesuai kerana di sini sudah sesak dan padat,” kata beliau kepada Kon Yeow.

Di Taman Teguh, mereka menerima aduan penduduk mengenai isu pencemaran udara yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran abu mayat dekat Relau.

Mengulas lanjut, Soo Huey menyatakan kebimbangan isu pencemaran itu akan mengancam kesihatan penduduk setempat.

Dalam reaksi balas, Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lee Say Chuan memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan komuniti terbabit.

Di Tingkat Erskine, MBPP memaklumkan mengenai hasrat pemasangan lampu isyarat, memandangkan Kon Yeow sendiri mengaku aliran lalu lintas di sini kian sibuk dan memerlukan kemudahan itu.

“Di sini juga kawasan bukit, kerap berlaku kemalangan, jadi saya menyokong penuh jika didirikan lampu isyarat agar trafik lebih lancar dan keselamatan pengguna terjamin,” ujarnya lanjut.

Lawatan ke Ladang Hong Seng pula menyaksikan rungutan penduduk mengenai isu keselamatan komuniti yang terdedah kepada trafik kenderaan berat di sini.

Kon Yeow dan Soo Huey senada dalam isu ini, menuntut JKR mengatasi isu tersebut kerana difahamkan, terdapat projek pembinaan sedang berjalan berhampiran kawasan Ladang Hong Seng.

“Saya rasa JKR perlu tegas kepada pihak pemaju, kerana jalan di sini juga dilihat rosak teruk akibat kemasukan kenderaan berat.

“Saya melihat isu keselamatan penduduk sebagai perkara nombor satu,” tegas Soo Huey.