Kesedaran kitar semula perlu dipupuk pada usia muda – Maimunah

GEORGE TOWN – Sebanyak 144.492 tan bahan kitar semula berjaya dikumpulkan 104 sekolah yang menyertai Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2017 anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama syarikat Fraser & Neave Holding Berhad dan Tetra Pack (Malaysia) Sdn. Bhd..

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyatakan sedemikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2017 di sini baru-baru ini.

“Peningkatan tersebut merupakan 13.60 peratus lebih berbanding apa yang dikumpul pada tahun lepas (2016) iaitu 127.194 tan, dan ini merupakan satu prestasi yang membanggakan.

“Syabas diucapkan kepada semua warga sekolah yang mengambil bahagian.

“Malah, tahun ini juga mencatatkan peningkatan penyertaan iaitu daripada 90 sekolah pada tahun lalu, kepada 105 (sekolah) pada 2017, termasuk 20 buah pra sekolah,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Penyelia Kanan Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Abdul Qalam Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holding Berhad, Lim Yew Hoe dan wakil Tetra Pack (Malaysia) Sdn. Bhd., Terrynz Tan.

Tambah Maimunah, bagi 2012, MBPP cuma menerima 18 penyertaan dan saban tahun ianya meningkat.

“Jadi kami di MBPP akan terus menarik lebih banyak sekolah untuk menyertai pertandingan ini tahun hadapan kerana maklum bahawa kesedaran kitar semula ini perlu dipupuk pada usia muda, iaitu melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” jelasnya.

Pada pertandingan tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau berjaya muncul johan untuk Kategori Pra Sekolah dan Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eng Chuan.

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confusion muncul juara bagi Kategori Sekolah Menengah, diikuti Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Al-Mashoor (Lelaki), naib johan dan SMK Pulau Tikus, ketiga.

Antara anugerah lain yang dipertandingkan termasuk, Anugerah Khas Pengumpulan Plastik dan Aluminium, Anugerah Tetra Pack,
Anugerah E-Waste Tertinggi serta Anugerah Sudut Kitar Semula Kreatif Inovatif.

Para pemenang menerima wang tunai, trofi dan sijil penyertaan.