Bajet 2018 MPSP, tumpu 10 fokus utama

SEBERANG JAYA – Bajet 2018 bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal memberi penekanan kepada 10 fokus utama selari dengan pandangan diberikan warganya pada sesi Soal Selidik Bajet yang diadakan pada 1 Januari hingga 28 Februari lalu.

10 fokus utama tersebut adalah persekitaran selamat; kemudahan dan infrastruktur berkualiti; gaya hidup sihat; pembangunan hijau dan persekitaran bersih; penerapan teknologi baharu; ekonomi bandar yang berdaya saing; memperkukuhkan budaya dan warisan; bandar berdaya tahan dan berdaya huni; keterlibatan komuniti serta pembangunan bandar yang inklusif dan saksama.

Pengumuman tersebut dibuat Yang di- Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika membentangkan Bajet MPSP Tahun 2018 bertemakan Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau dan Kompetitif.

Katanya, MPSP memperuntukkan sejumlah RM38.16 juta atau 13.0 peratus untuk tahun 2018 bagi membentuk persekitaran selamat.

“Bagi kemudahan dan infrastruktur berkualiti, sejumlah RM36.92 juta iaitu 12.6 peratus diperuntukan. Diikuti gaya hidup sihat (RM34.77 juta, 11.8 peratus), pembangunan hijau dan persekitaran bersih (RM30.36 juta, 10.3 peratus), penerapan teknologi baharu (RM29.95 juta, 10.2 peratus dan ekonomi bandar yang berdaya saing (RM28.32 juta, 9.7 peratus).

“Manakala bagi memperkukuhkan budaya dan warisan, MPSP menyediakan peruntukan sebanyak RM27.73 juta iaitu 9.5 peratus, bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni (RM25.6 juta, 8.7 peratus), keterlibatan komuniti (RM21.91 juta, 7.5 peratus) dan pembangunan bandar yang inklusif dan saksama (RM19.74 juta, 6.7 peratus),” ucapnya pada pembentangan bajet tahunan MPSP di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, Bajet 2018 MPSP bakal membabitkan peruntukan berjumlah RM293.47 juta, berbanding anggaran pendapatan Majlis sebanyak RM268.56 juta dan merupakan bajet defisit berjumlah RM24.91 juta.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPSP.