Jendela Pelanggan MPPP selesai aduan orang ramai

PEGAWAI MPPP sedang meneliti gambar dirakamkan oleh salah seorang pangadu yang hadir pada Hari Jendela Pelanggan MPPP di sini baru-baru ini.
PEGAWAI MPPP sedang meneliti gambar dirakamkan oleh salah seorang pangadu yang hadir pada Hari Jendela Pelanggan MPPP di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Bagi mengeratkan komunikasi secara langsung dengan masyarakat setempat, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meneruskan kelangsungan Hari Jendela Pelangan yang menjadi platform untuk orang ramai membuat aduan dan kemusykilan dihadapi di sini.

Penolong Pegawai Tadbir, Roslinawati Mohd. Rasyid berkata, kaunter aduan orang ramai tersebut dibuka setiap hari Jumaat minggu ketiga, di antara jam 3 petang hingga 5 petang bertempat di Bilik Minda, Paras 4, Komtar. Sebanyak 13 pegawai dari jabatan MPPP ditugaskan untuk berbincang secara langsung.

“Dengan program bersemuka begini, ia lebih bersifat mesra masyarakat dan memudahkan orang ramai yang ingin membuat aduan agar dapat berjumpa secara terus dengan jabatan yang berkenaan dan membincangkan masalah dihadapi dengan lebih terperinci,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan daripada aduan yang diterima adalah berkenaan kes pembuangan sampah, jalan raya yang tidak sempurna dan juga anjing liar.

“Sekiranya aduan tersebut boleh diselesaikan dengan segera, kami (MPPP) akan terus bertindak tetapi acapkali aduan-aduan berkenaan memerlukan pihak MPPP menjalankan siasatan terlebih dahulu dan disusuli dengan pemberian notis. Maka, ia akan mengambil sedikit masa.

“Pada masa sama, MPPP juga sedia menerima maklum balas dan pandangan daripada orang ramai mengenai keberkesanan perkhidmatan-perkhidmatan yang telah diberikan oleh pihak majlis pada sesi tersebut,’’ jelasnya.

Tambah Roslina, pada 2009 dan 2010, kesemua aduan yang diterima pihak majlis telah dapat diselesaikan sepenuhnya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan tetapi mempunyai kekangan masa untuk hadir boleh menyusulkan aduan atau pandangan ke talian ‘hotline’ MPPP, 04 – 263 7000 / 04 – 263 9575, sistem pesanan ringkas (SMS) ke 012 – 490 7000 atau emelkan terus aduan anda ke laman sesawang [email protected].