Jerayawara ADUN Bukit Tambun temui penerima AES

Admin

TENGAH HARI 5 Syawal 1442H, wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob dan jurufoto, Law Suun Ting berkesempatan menyertai jerayawara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik untuk menemui beberapa penerima program bantuan kebajikan Kerajaan Pulau Pinang yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Saksama (AES) di sekitar Kawasan Parlimen Nibong Tebal.

Di Jalan Bukit Tambun, Choon Aik menyerahkan pek bantuan makanan kepada ONG MING KEAT, 71.

ONG Ming Keat (dua dari kiri) dan anak bongsu (kiri sekali) menerima sumbangan pek sumbangan bantuan makanan daripada Goh Choon Aik (tiga dari kiri). Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yusoff di kediaman penerima program baik pulih rumah AES di Jalan Bukit Tambun di sini.

Ming Keat merupakan seorang petani, tinggal bersama-sama sepasang anak lelaki dan perempuan iaitu Ong Ah Tin, 40, dan Ong Boon Kee, 37.

Menurut Ming Kiat, pendapatannya tak seberapa dengan buat kerja-kerja kampung, selain anak perempuan yang kerja dengan makan upah harian. Sementara, anak lelaki merupakan orang kurang upaya dan tinggal di rumah sahaja.

ONG Ming Keat

“Saya ambil kerja upah kupas kelapa, ada kerja, ada upah.

“(Selain itu), saya ada menanam tebu di (atas sebidang tanah milik pihak bukan kerajaan) dekat belakang rumah.

“Lapan bulan tempoh menuai, semalam saya baru menjual 300 kilogram (kg) dengan harga serendah 70 sen sekilogram, jadi kira-kira RM200 sahaja pendapatan saya dapat tiap-tiap tiga bulan saya menuai (hasil tanaman).

“Namun, pelaksanaan kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan PKP 1.0 (sejak 18 Mac 2020), banyak hasil tanaman rosak dan terpaksa dibuang begitu sahaja kerana pasar malam dan pasar pagi tak buka, tiada peniaga datang membeli (hasil tanaman tebu),” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara di sini pada 17 Mei 2021.

GOH Choon Aik

Mengulas sebelum itu, Choon Aik memberitahu permohonan AES keluarga Ming Keat sampai ke meja pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN Bukit Tambun semasa PKP 1.0 lagi.

“Sebenarnya lebih sedekad keluarga Ming Keat cuba mendapatkan bantuan basmi kemiskinan ini untuk membaiki struktur kediaman mereka yang agar uzur, tetapi tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kerana tidak dapat kebenaran daripada tuan tanah berkaitan.

“Semasa PKP 1.0, kes ini dirujuk kepada saya dan saya cuba mendapatkan kebenaran tuan tanah berkenaan memandangkan keluarga ini sudah tinggal di sini lebih empat dekad.

“Syarat untuk mendapatkan bantuan AES yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini juga adalah mudah, antaranya, anggota isi rumah mesti ada bekerja, tidak kira upah harian atau gaji bulanan mesti kurang daripada RM1,000.

“Mereka hanya perlu memohon melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ataupun datang terus ke pejabat ADUN, permohonan mereka akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah, sebelum diangkat ke Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk tindakan lanjut.

“Apabila saya datang sendiri ke rumah saudara Ming Kiat, ada tiga jenis bantuan dilakukan yang mana Kerajaan Negeri melalui AES membaik pulih struktur binaan bilik, dinding, bumbung serta bina semula bilik air, tandas dan dapur.

“Saya menggunakan peruntukan khas ADUN untuk membuat pemasangan semula kabel elektrik agar lebih selamat, sementara ada seorang individu lain membiayai kos membeli dapur, peti ais, tilam dan kelengkapan-kelengkapan rumah yang lain.

“Kerajaan Negeri ada AES untuk membantu penduduk miskin tegar, termasuk mereka yang tak ada rumah akan dibina rumah selesa; yang rumah uzur akan dibaik pulih semula dengan menggunakan peruntukan Jawatankuasa Mesyuarat Tetap Pembangunan Luar Bandar,” tambah beliau sambil merakamkan penghargaan kepada ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin selaku Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Selepas itu, program jerayawara Choon Aik diteruskan pagi melawat dua penerima AES lain di Kampung Chenaam dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

MOHD Radi Abu Kassim dan isteri, Nazita Mat Tahir menerima pek sumbangan bantuan daripada ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh dan pemimpin tempatan lain di Kampung Chenaam di sini petang tadi.

Buletin Mutiara dibawa menemui penerima rumah baharu AES, iaitu MOHD. RADI ABU KASSIM, 43, dan NAZITA MAT TAHIR, 35, serta tiga anak (masing-masing berusia 13 tahun, 10 tahun dan 7 tahun).

Turut serta jerayawara tersebut adalah Penyelaras KADUN Sungai Acheh, Wan Mohd. Kamil Abu Bakar; dua Pegawai Serantanya, Baseri Aziz dan Naraziah Jahaya serta Pengerusi MPKK Sungai Chenaam, Mohd. Azri Mohamed Yusof.

Semasa sesi wawancara, Mohd. Radi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini serta Choon Aik selaku ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh.

“Dahulu, saya menyewa rumah dekat Sungai Setar Kechil (KADUN Sungai Acheh) sebelum berpindah ke Kampung Chenaam di sini.

“Saya kerja sebagai petani dan buat kerja kampung sahaja dengan pendapatan tak tetap…sebulan paling banyak pun RM320, isteri pula ambil upah menjahit barang dari kilang dengan gaji RM200 sebulan.

“Kami mohon rumah bantuan AES ini tak lama, kurang setahun, kami tinggal di rumah tiga bilik ini pada bulan November 2020, sebab patut siap pada April tahun lepas lagi tetapi tertangguh sebab PKP 1.0,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Choon Aik kerana membantu mempercepat proses permohonan rumah bantuan AES tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Choon Aik menjelaskan bahawa permohonan keluarga Mohd. Radi tidak mengambil masa yang lama adalah kerana mudah mendapat kebenaran tuan iaitu bapa mentuanya sendiri.

“Payah nak bina rumah baharu atau baiki rumah uzur sebenarnya disebabkan sukar dapat kelulusan tuan tanah,” respons Choon Aik dalam nada sederhana.

NAZILA Hashim

Kemudiannya, jerayawara ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh singgah di rumah NAZILA HASHIM, 49, seorang ibu tunggal yang tinggal bersama-sama empat anaknya berusia antara 27 tahun hingga 16 tahun di Kampung Chenaam juga.

Menurut Nazila, sejak Datuk Mahmud Zakaria menjadi ADUN Sungai Acheh lagi ada memohon bantuan berwajib di bawah program basmi kemiskinan luar bandar, tetapi dikatakan tidak memenuhi syarat berkaitan.

“Saya mohon bantuan dalam bentuk barangan untuk tujuan perniagaan yang bernilai di bawah harga RM3,000 tetapi tidak dapat.

“Saya mengambil upah menjahit pakaian dan sebagainya sejak daripada ada seorang anak dahulu, sehinggalah ada empat anak sekarang, kira-kira 25 tahun.

“Saya menjadi ibu tunggal baru dua tahun sahaja, apabila permohonan bantuan barangan saya tidak diluluskan di bawah program basmi kemiskinan, YB Goh Choon Aik sendiri pada bulan Ogos lepas mengeluarkan peruntukan khasnya untuk membeli mesin jahit automatik dengan pelbagai fungsi.

“Saya begitu terharu dengan sokongan bantuan pelbagai pihak seperti MPKK, Penyelaras KADUN, wakil rakyat dan Kerajaan Negeri sendiri,” jelasnya lagi sambil menzahirkan rasa bersyukur kepada Tuhan.

Di samping itu, beliau turut berkongsi cabaran mengambil upah menjahit pakai sejak PKP 1.0 (2020) hingga musim perayaan Syawal kini.

“Ambil upah menjahit pun untuk orang kampung dan guru-guru sekolah di sekitar kawasan ini sahaja, kalau nak dapat duit lebih pun masa nak sambut musim raya kerana ramai tempat jahit baju raya.

“(Pun begitu), sejak PKP tahun lepas (2020), pendapatan terjejas dan tak macam selalu (iaitu) hasil menjahit kira-kira RM600 sebulan pada musim perayaan, kalau bukan musim perayaan, kurang lagi daripada pendapatan itu,” ujarnya lagi.

DI Jeti Sungai Berembang, Sungai Acheh.
KONTENA boleh alih berfungsi sebagai setor sementara buat nelayan menyimpan hasil tangkapan di sini.

Mengakhiri jerayawara kira-kira jam 3 petang, Choon Aik membawa wartawan dan jurufoto Buletin Mutiara menyaksikan sendiri aktiviti ekonomi di Jeti Nalayan Sungai Berimbang, Sungai Acheh.

Menurut Choon Aik, di lembangan Sungai Kerian itu tiap-tiap hari ada lebih 100 sampan melabuh dekat persisiran pantai.

Namun di sini, katanya lagi, tidak ada kemudahan jeti, pusat memborong serta tempat menyimpan stok hasil tangkapan yang memang diperlukan oleh para nelayan di sini.

“Hanya ada kemudahan jambatan untuk laluan motosikal dan basikal sahaja di sini, dibina pada tahun 1990-an, sementara aktiviti tangkapan ikan dan udang galah di (lembangan) Sungai Kerian di sini sejak lebih 50 tahun lalu lagi.

“Kerana di sini hanya ada tanah rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), maka tidak boleh dibina struktur binaan kekal.

“Maka, saya mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk meletakkan kontena boleh bergerak di sini buat para nelayan menyimpan stok hasil tangkapan mereka di sini,” katanya sambil memberitahu bahawa hasil tangkapan seperti ikan kembung dan udang galah pelbagai saiz boleh dibeli dengan harga yang sangat berpatutan.

Menurutnya lagi, sekilogram anak udang galah ‘segar-segar’ ditawarkan pada harga semurah RM30, sementara udang gagah besar pelbagai saiz pada harga RM60 sekilogram. Ikan kembung pula RM5 sekilogram.

“Sangat berbaloi membeli hasil tangkapan Sungai Kerian di sini, murah dan ‘segar-segar’,” selorohnya lagi sambil mengharapkan lebih banyak program bantuan membasmi kemiskinan dibawa oleh Kerajaan Negeri melalui MMK Pembangunan Luar Bandar ke KADUN Bukit Tambun dan Sungai Acheh.