Jerayawara edar pelitup muka diperluas ke kawasan kampung – Lay Hock Peng

PERMATANG BERANGAN – Kempen kesedaran sentiasa memakai pelitup muka dengan betul demi melandaikan keluk perebakan COVID-19 yang dianjurkan oleh Pejabat Pegawai Penyelaras Khas akan terus diperluaskan ke kawasan penempatan penduduk sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, sama ada di kampung mahupun taman perumahan.

LAY Hock Peng

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata demikian selepas penganjuran acara jerayawara ‘Penang Lawan COVID-19’ di kawasan kediaman berstrata dan perumahan bertanah di Taman Sena Indah, Tasek Gelugor.
“Pada petang ini, kita telah mengedarkan kira-kira 3,000 pelitup muka.

“Tidak cukup mengedarkan pelitup muka dari rumah ke rumah, kita turut membuat kempen kesedaran dengan menggunakan alat pembesar suara.

“Kempen kesedaran ‘Penang Lawan COVID-19’ ini akan diperluaskan lagi ke kawasan penempatan penduduk,” jelasnya di sini pada 10 Disember 2020.

Seramai sembilan sukarelawan termasuk anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Sena Indah menyertai jerayawara tersebut.

“Pada minggu hadapan, kita sasar untuk mengedarkan 2,500 lagi pelitup muka di Pekan Penaga dan Kampung Padang, kerana ada satu kes (positif COVID-19) di sana baru-baru ini,” katanya sambil berharap kempen kesedaran memakai pelitup muka ini dapat disemarakkan lagi di peringkat kampung.

Terdahulu, pasukan Hock Peng menganjurkan jerayawara serta mengedarkan lebih 120,000 keping pelitup muka di Kampung Bertam, Taman Abdullah Fahim, Kampung Permatang Janggus, Kota Aur dan beberapa lokaliti bersasar sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH BOORAZIS