Jerayawara Kon Yeow turut serta jayakan kempen ‘muka baharu’ Wong Yuee Harng

Admin
CHOW Kon Yeow (tengah) bersama-sama Wong Yuee Harng (kanan) serta jentera Perpaduan lain semasa jerayawara tadi menyantuni para pengunjung Pasar Awam Lebuh Cecil di sini.

GEORGE TOWN – Masuk hari keempat berkempen, calon Perpaduan bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow turut meluangkan masa bersama-sama menjayakan kempen Wong Yuee Harng di KADUN Pengkalan Kota.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong; calon Perpaduan bagi DUN Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer turut sertai program jerayawara di Pasar Awam Lebuh Cecil dekat sini pada 1 Ogos 2023.

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) dalam sidang media di Pasar Awam Lebuh Cecil tadi turut merayu kepada semua pengundi berwajib untuk memberi sokongan kepada Wong Yuee Harng (tiga dari kiri).

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa pengalaman berkempen bersama-sama calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Yuee Harng mengingatkan kenangan semasa beliau bertanding dan menang di sini pada tahun 1990 dulu.

“Pertama kali saya dipilih sebagai ADUN adalah di Pengkalan Kota.

“Apabila melihat Wong Yuee Harng yang pernah menjadi Ahli Majlis bagi MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), saya berasa calon Perpaduan ini mempunyai kemampuan dan kecerdasan untuk berkhidmat kepada masyarakat lokal berdasarkan pemikiran sejagatnya,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dalam sidang media sebentar tadi.

GAMBAR kenang-kenangan jentera Perpaduan semasa jerayawara di Pasar Awam Lebuh Cecil tadi.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri sekali lagi memberitahu bahawa Jentera Perpaduan akan terus bekerja keras sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang sebelum hari pembuangan undi pada 12 Ogos ini.

“Saya tidak mahu pandang rendah kepada kemampuan pembangkang Pulau Pinang termasuk calon dari Gerakan.

“Walaupun saya bercakap ‘harap mereka (pembangkang) tidak ada peluang (untuk menang dalam PRN Pulau Pinang)’, saya berharap para penyokong (Perpaduan) jangan berasa lega, sebaliknya teruskan kempen kita sehingga mencapai kemenangan,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.