Jerebu – KN saran hadkan aktiviti luar

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNKerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil inisiatif mengedarkan 150,000 topeng muka untuk diedarkan kepada semua sekolah sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi musim jerebu barubaru ini di sini.

Exco Kesihatan dan Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, berkemungkinan masalah jerebu akan berlarutan akibat cuaca kering yang berpanjangan.

“Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan pulau mencatatkan paras sederhana dengan bacaan 78. Walau bagaimanapun, satu-satunya kawasan iaitu Seberang Jaya mencatatkan IPU 101 melebihi paras tidak sihat. Ini amat membimbangkan.

“Jesteru, kita (Kerajaan Negeri) telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk turun padang dan memantau sebarang kes pembakaran terbuka yang dilakukan. Malah, tindakan saman juga akan dikenakan terhadap pihak yang didapati melanggar peraturan,” tegasnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menasihatkan agar orang ramai menghadkan aktiviti di tempat terbuka.

“Kerajaan Negeri sedaya upaya akan menunda semua program luar buat sementara waktu. Kesihatan adalah lebih utama. Perkara serius ini perlu ditangani dengan segera,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berharap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Menteri Luar Negeri boleh mengadakan perbincangan dengan negara jiran, Indonesia bagi menangani masalah sama yang dipercayai telah berlarutan hampir 15 tahun tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan Dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.