Jerebu, penduduk diingatkan untuk ambil langkah berjaga-jaga

Admin

SEBERANG JAYA – Penduduk di negeri ini dinasihati untuk mengambil langkah berjaga-jaga ekoran masalah jerebu yang mula melanda negara beberapa hari lalu.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memaklumkan, beberapa kawasan di negeri ini mula mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.

“Hari ini, setakat jam 11 pagi, beberapa kawasan di negeri ini telah mencatatkan indeks IPU yang tidak sihat iaitu di Seberang Jaya dengan catatan 124 dan kawasan Perai (108), manakala di bahagian pulau menunjukkan catatan sederhana iaitu antara 98 dan 99.

“Kita juga telah dimaklumkan oleh Jabatan Metrologi bahawa cuaca panas ini akan berlanjutan sehingga September ini,” katanya pada sidang media di sini tadi.

Justeru, Afif menasihati penduduk di negeri ini agar mengurangkan aktiviti luaran dan minum lebih banyak air masak untuk mengelakkan daripada sebarang kesan bahaya.

“Bagi mereka yang megalami penyakit berkaitan paru-paru dan jantung yang kronik, hendaklah terus mendapatkan rawatan di klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.

“(Dan) mereka yang di dalam kumpulan berisiko hendaklah sentiasa memakai topeng dan membawa ubat-ubatan bersama-sama,” serunya.

Sebagai rekod, bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 hingga 100 (sederhana), antara 101 hingga 200 (tidak sihat), antara 200 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K. THAARSHENII