Jersi pasukan tuan rumah Penang FC ‘To The Highest’ dilancar

Admin

GEORGE TOWN – Jersi pasukan bola sepak negeri, Penang FC untuk perlawanan Liga Malaysia di laman sendiri yang dinamakan ‘To The Highest’ dilancarkan hari ini oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut Kon Yeow, jersi tersebut dihasilkan dengan acuan tersendiri dalam bentuk olahan corak ombak biru kurning dengan nilai abstrak digital dengan pilihan unik.

“Reka bentuk jersi ini dipilih bagi meraikan ciri-ciri Pulau Pinang yang dikelilingi laut dan ia juga direka bentuk selaras dengan salah satu Visi Penang2030 iaitu ‘Penang Smart City’ yang memfokuskan ‘Penang Digitalisation’.

“Umumnya, teman dan logo ‘Sports For All’ terus dikekalkan sebagai lambang tajaan berterusan oleh Kerajaan Negeri di samping logo ‘PKT’ dan ‘The Ship Campus’ yang merupakan penaja utama untuk musim Liga Super 2022,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada pengumuman berkaitan di sini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Lembaga Pengarah Penang FC, Dato’ Norazmi Mohd. Nawawi dan S. Barathi; Pengurus Besar Penang FC, Jefferey Chew Gim Eam; Jurulatih Penang FC, Thomas Trucha dan barisan pemain Penang FC.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap pasukan Harimau Kumbang akan mencapai keputusan yang baik serta memenuhi harapan dan impian peminat-peminat yang mahukan pasukan kesayangan mereka tersebut mencapai kedudukan membanggakan.

“Semoga ia menjadi perangsang dan meniup semangat juang tinggi untuk pasukan negeri Pulau Pinang dalam mengulangi kejayaan-kejayaan silam.

“Pada masa sama, juga terus melahirkan bintang-bintang yang dapat mewakili pasukan bola sepak negara demi memartabatkan kembali kehebatan pasukan bola sepak negara di persada antarabangsa,” serunya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung harga jersi dan tempoh mula dijual, para peminat boleh ikuti laman Facebook rasmi Penang FC.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING