PERAI – Keadaan Jeti Persatuan Riadah dan Rekreasi Air Persisiran Sungai Perai memerlukan perhatian sewajarnya bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat terus dimanfaatkan komuniti setempat dengan selamat dan selesa.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, keadaan semasa jeti berkenaan didapati tidak lagi sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi air dengan selesa serta selamat.
“InsyaAllah, perkara yang dibangkitkan akan diperhalusi bersama pihak berkaitan bagi melihat ruang dan kaedah yang bersesuaian untuk membantu menambah baik kemudahan jeti ini demi keselamatan serta manfaat komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau keadaan jeti berkenaan yang digunakan komuniti setempat untuk aktiviti riadah dan rekreasi air.
Turut hadir dalam tinjauan itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang, Azlida Mohad Khazin.
Menurut Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, jeti berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk terus dimanfaatkan oleh komuniti serta penggiat aktiviti rekreasi air di kawasan Sungai Perai sekiranya kemudahan berkenaan ditambah baik.

Gambar: EXCO