JKKK Kubang Semang Sg. Semambu Mk. 5 terbaik 2012

SEBERANG JAYA – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Semang Sungai Semambu Mukim 5 dipilih sebagai JKKK terbaik bagi tahun 2012 dalam saingan tahunan terbuka peringkat negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman menyempurnakan majlis penyerahan piala pusingan serta replika cek bernilai RM50,000 kepada Pengerusi JKKK berkenaan, Siti Noriza Abu Bakar.

Mansor yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Pembangunan Masyarakat berkata, mulai tahun ini, saingan tersebut diadakan dua tahun sekali.

“Kalau sebelum ini, tiap-tiap tahun, diadakan Majlis Penghargaan dan Anugerah JKKK Terbaik peringkat negeri (Pulau Pinang), mulai tahun depan (2013) pertandingan JKKK terbaik akan diadakan dua tahun sekali untuk memberi lebih banyak masa kepada JKKK membuat persediaan dan penambahbaikan,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan perasmian di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man turut berucap pada majlis jamuan malam bersama seluruh anggota JKKK Pulau Pinang di sini.

Difahamkan, hadiah penghargaan berjumlah RM50,000 tersebut berupa geran projek pembangunan komuniti, selain menerima RM5,000 tunai.

Menurut Mansor, JKKK umpama seperti ‘telinga dan mata’ bagi kepemimpinan Kerajaan Negeri. Tambahnya, JKKK juga umpama seperti ‘jambatan yang mengukuhkan’ sokongan komuniti terhadap kepemimpinan Kerajaan Negeri.

“Semua peringkat perlu diperkemaskan supaya institusi kemasyarakatan ini (JKKK) yang mewakili Kerajaan Negeri terus disegani masyarakat di semua peringkat,” ujar beliau di depan hampir 1,000 hadirin.

MANSOR Othman (depan, lima dari kiri), Mohd. Salleh Man (berkopiah) dan Siti Noriza Abu Bakar (empat dari kanan) bersama seluruh kepemimpinan JKKK Mukim 5 Kampung Sungai Semambu bergambar di pentas utama Majlis Penghargaan dan Anugerah JKKK Terbaik Negeri Pulau Pinang 2012.
MANSOR Othman (depan, lima dari kiri), Mohd. Salleh Man
(berkopiah) dan Siti Noriza Abu Bakar (empat dari kanan)
bersama seluruh kepemimpinan JKKK Mukim 5 Kampung
Sungai Semambu bergambar di pentas utama Majlis
Penghargaan dan Anugerah JKKK Terbaik Negeri Pulau
Pinang 2012.