JKKP terima laporan jurutera geoteknikal, tunggu dokumen lengkap kerja mitigasi

fb img 1794285597384

GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah menerima laporan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong daripada jurutera geoteknikal pihak pemaju pada 5 November lalu.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, laporan berkenaan dikemukakan oleh WYA Consulting Engineers Sdn. Bhd. susulan permohonan Seksyen Siasatan dan Pendakwaan JKKP Pulau Pinang.

 

Walau bagaimanapun katanya, JKKP masih menunggu dokumen lengkap serta permohonan rasmi daripada jurutera awam pemaju, Aptitute Consulting Engineers Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer, S.O.) bagi projek berkenaan.

 

“Dokumen penuh termasuk permohonan untuk menjalankan kerja-kerja mitigasi dan pembaikan di kawasan cerun yang runtuh.

 

“(Pihak berkenaan) dijangka mengemukakan dokumen lengkap serta permohonan rasmi tersebut kepada JKKP pada 11 November ini untuk pertimbangan selanjutnya,” ujarnya dalam kenyataan media bertarikh 10 November 2026.

 

Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh pada 25 Oktober lalu mengorbankan seorang doktor selepas sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan terjejas akibat runtuhan tanah.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI