JKNPP teliti kesesuaian buka PKRC Berisiko Rendah

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan meneliti dan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana lokasi yang dicadangkan untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata hasil pertemuan bersama-sama JKNPP; Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang pagi ini, pihak Kerajaan Negeri serta JKNPP membangkitkan beberapa isu berkaitan pengurusan COVID-19 di negeri ini termasuk cadangan lokasi untuk dijadikan PKRC Berisiko Rendah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terdapat peningkatan kes pada masa hadapan.

 

Memandangkan kita (Kerajaan Negeri dan JKNPP) kini menghadapi cabaran untuk menyediakan PKRC Berisiko Rendah bagi menampung pertambahan kes, maka kita mencadangkan supaya majikan di kilang-kilang turut mengambil inisiatif menyediakan PKRC Berisiko Rendah di premis masing-masing.

 

“Seperti yang berlaku di dua penjara negeri ini, PKRC Berisiko Rendah diwujudkan dalam premis penjara sendiri tanpa perlu menempatkan pesakit (berisiko rendah) di hospital.

CHOW Kon Yeow.

 

“(Maka), kilang-kilang yang mempunyai kemudahan sesuai disarankan untuk menyediakan PKRC Berisiko Rendah bagi pekerja-pekerja mereka yang didapati positif setelah menjalani ujian saringan.

 

“(Dan) semestinya pihak JKNPP akan bertanggungjawab bagi memastikan kemudahan tersebut sesuai sebelum digazetkan sebagai PKRC Berisiko Rendah,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Komtar tengah hari ini.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Soisl dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama agensi berkaitan telah meneliti beberapa cadangan lokasi untuk dijadikan PKRC Berisiko Rendah yang baharu.

 

“Beberapa lokasi telah dikenal pasti dan cadangan mengenainya dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibentangkan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat secara berkala untuk mendapatkan kelulusan serta peruntukan bagi pengoperasian dan pengurusan PKRC Berisiko Rendah di negeri ini.

 

“Salah satu lokasi dicadangkan adalah Arena SPICE yang boleh menampung lebih daripada 1,000 katil. Namun, kesesuaian lokasi yang dicadangkan ini tertakluk kepada penilaian JKNPP, begitu juga cadangan di kemudahan kilang.

 

“Cadangan sebelum ini di Tapak Pesta Sungai Nibong tidak akan dibangkitkan kerana menurut JKNPP, lokasi tersebut tidak mempunyai kemudahan yang sesuai,” jelasnya.

 

Menjawab isu tular yang mendakwa keadaan di PKRC Berisiko Rendah di Kompleks Sukan Balik Pulau kekurangan kelengkapan dan tidak selesa, Kon Yeow sebagai respons memberitahu bahawa pekerja-pekerja di sektor perkilangan dan pembinaan yang disaring telah ditempatkan di premis berkenaan.

 

“Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa JKNPP akan memindahkan pesakit warganegara yang kini ditempatkan di Kompleks Sukan Balik Pulau ke Pusat Latihan Zakat (PULAZA) Balik Pulau pada kadar segera.

 

“Sebelum ini, pusat itu (PULAZA) dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi individu yang tiba dari luar negara,” maklumnya lagi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa setakat hari ini, kira-kira 15,000 daripada 140,450 pekerja asing yang berdaftar telah menjalani ujian saringan.

 

“Ujian saringan terhadap pekerja asing masih lagi aktif dijalankan,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS