JKR Pulau Pinang anjur cabutan 47 kerja bernilai RM1.945 juta, secara penstriman langsung

KETUA Menteri menyempurnakan acara cabutan kerja kendalian JKR Negeri Pulau Pinang di Sungai Pinang pada pagi ini.

SUNGAI PINANG – Demi menyemarakkan integriti tadbir urus Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang pada pagi ini melaksanakan acara cabutan 47 Kerja Undi Perdana Bilangan 1/2021 secara penstriman langsung (live streaming) menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan.

KETUA Menteri

Sebelum membuat cabutan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa anggaran kos bagi setiap satu projek kerja-kerja awam adalah tidak melebihi RM50,000 manakala kerja-kerja teknikal (RM100,000).

“Nilai integriti merupakan komponen penting dalam memantapkan perkhidmatan yang cekap, akauntibiliti dan telus.

“Ingatlah, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nama baik penjawat awam.

“(Justeru,) saya berharap setiap pegawai dan kakitangan (Kerajaan) mempunyai prinsip moral yang tinggi dan tidak mudah dipengaruhi dalam segala bentuk penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa,” jelasnya pada majlis berkaitan yang berlangsung dekat bangunan JKR Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Sebelum itu, Pengarah JKR Negeri, Ir. Dr. A. G. Balamurugan memberitahu bahawa Program Cabutan Undi melalui ‘Live Streaming’ Facebook JKR Pulau Pinang adalah satu inisiatif yang telah diperkenalkan pada tahun 2020, dan diteruskan pelaksanaan kaedah tersebut dalam tahun ini (2021).

Selain itu, beliau memberitahu bahawa nilai keseluruhan 47 projek yang ditawarkan dengan sumber kewangan Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM1.945 juta.

“Bagi tahun 2021, JKR Pulau Pinang telah membuat hebahan cabutan undi ini yang diiklankan di laman e-Perolehan Pulau Pinang pada 15 Julai 2021 bagi kontraktor Gred G1 mengikut daftar daerah dan cawangan.

“Sesi pendaftaran pula telah dibuka pada 19 Julai sehingga 22 Julai 2021 (dan) senarai nama kontraktor serta bidang kerja yang berjaya dipilih akan dimaklumkan pada hari ini dan juga dipamerkan di FB JKR Pulau Pinang, Instagram, dan Twitter JKR Pulau Pinang.” ulasnya

Turut menyaksikan acara tersebut, Exco Kerja Raya Utiliti & Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Bin Johari; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Lim Bee Kean; Ketua Unit Intergriti SUK Pulau Pinang, Mohd Faizal Che Meh, wakil-wakil persatuan kontraktor dan Ketua-ketua Bahagian Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN