JAWI – Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) meneruskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui penganjuran My First Robot iaitu sebuah program berorientasikan pendidikan berasaskan inovasi, sejajar dengan perkembangan era transformasi digital.
Pengerusi JKSB, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata bahawa inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik School of Electrical and Elektronic Engineering, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal.
Beliau berkata, program tersebut juga merupakan sebahagian daripada Projek Sekolah Angkat Madani (SAM) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Penganjuran My First Robot adalah bukti komitmen JKSB dalam menyokong aspirasi pendidikan negara, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pendedahan awal ini diyakini dapat membantu memupuk minat, mmebina keyakinan diri dan melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya percaya bahawa era IR.40 dan AI akan membawa transformasi besar dalam landskap ekonomi global dengan menggabungkan teknologi canggih seperti Internet Untuk Semua (IoT), pembelajaran mesin (ML), data raya, robotik dan automasi.
“Penggunaan teknologi canggih ini sudah pasti memerlukan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan program berkaitan dekat USM Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin; Penasihat Pasukan Robocon USM, Ts. Dr. Noramalina Abdullah dan Dr. Abdul Sattar Din; wakil kepada Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid serta Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) TVET Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Nizaidi Hussain.


Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata seramai 44 pelajar dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Batu Kawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perai telah dipilih menyertai program tersebut.
“Para pelajar akan diberikan pendedahan awal dalam bidang robotik melalui penggunaan pre-fabricated kits yang merangkumi pemasangan mekanikal, sistem elektrik dan asas pengekodan.
“Lebih penting lagi mereka akan belajar membina keupayaan dalam menyelesaikan masalah, kerja berpasukan dan berfikir secara kritis yang mana amat diperlukan pada masa akan datang,” jelasnya.
Menyentuh mengenai kepentingan teknologi, Abdul Malik berkata JKSB sendiri mengguna pakai teknologi canggih dalam dalam operasi syarikatnya bagi memastikan keselamatan, kecekapan dan pengalaman pengguna berada pada tahap tertinggi.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen JKSB untuk muncul sebagai sebuah organisasi berdaya saing dengan memanfaatkan inovasi demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Sebaai mengiktiraf komitmen ini, JKSB telah menerima anugerah daripada syarikat Artificial Intelligence of Things (AIoT) kedua terbesar dunia, Dahua bagi kategori The Most Advanced Technology Implemented in Malaysia in the Expressway Bridge.
“Antara sistem termaju digunakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua) ialah kamera litar tertutup (CCVT) yang lebih canggih, sistem pengesan insiden kenderaan serta papan tanda jalan yang dinamik.
“Selain itu, JKSB juga menggunakan platform bersepadu yang boleh memantau masa nyata serta mengesan dan berkongsi maklumat antara operator kami dengan pengguna Jambatan Kedua.
“Semua sistem ini beroperasi dengan lancar untuk mengesan, memantau dan bertindak balas dengan pantas sekiranya berlaku sebarang kejadian di atas jambatan.
“Ia bukan sahaja dapat meningkatkan standard keselamatan, malah telah meletakkan kedudukan Jambatan Kedua standing dengan beberapa infrastruktur tercanggih dunia,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS