JKSB komited perluas program CSR ikut keperluan komuniti setempat

Admin
img 5831 ABDUL Malik Abul Kassim (berdiri, dua dari kanan) turut menyantuni kakitangan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) yang terlibat dalam proses membungkus daging korban untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar kawasan kariah Masjid Ar-Rahman Batu Feringghi menjelang tengah hari tadi.

TELUK BAHANG – Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) berikrar untuk perluaskan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mengikut keperluan komuniti setempat di Pulau Pinang, selari dengan komitmennya terhadap agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat.

img 5806
ABDUL Malik Abul Kassim

Pengerusinya, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, ibadah korban merupakan salah satu syiar Islam yang sangat dituntut (sunat muakkad) bagi umat Islam yang berkemampuan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Selari dengan semangat pengorbanan dan kebersamaan yang dizahirkan menerusi ibadah tersebut, beliau berkata, JKSB akan memperbanyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari semasa ke semasa mengikut keperluan komuniti setempat di Pulau Pinang.

“JKSB akan terus komited melaksanakan inisiatif CSR yang berteraskan kebajikan, kesejahteraan komuniti dan pembangunan masyarakat agar manfaat yang disalurkan dapat dirasai secara berterusan oleh golongan yang memerlukan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anak-anak kariah Masjid Ar-Rahman Batu Ferringhi serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang terlibat dalam menjayakan program CSR dan agihan daging korban tersebut.

img 5808
ISMAIL Din

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Ar-Rahman Batu Ferringhi, Ismail Din menzahirkan penghargaan kepada JKSB kerana memilih masjid berkenaan sebagai lokasi penganjuran program CSR tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

“Pada hari pertama Aidiladha, iaitu 10 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan 27 Mei 2026, kami telah melaksanakan ibadah korban melibatkan lapan ekor lembu dan lima ekor kambing.

“Kebiasaannya program korban di masjid ini diadakan sekali sahaja sempena Aidiladha, namun alhamdulillah pada tahun ini ia dapat dilaksanakan buat kali kedua pada 13 Zulhijjah 1447 Hijrah.

“Bagi pihak jawatankuasa kariah masjid, saya ingin merakamkan penghargaan kepada JKSB kerana memilih Masjid Ar-Rahman Batu Ferringhi sebagai lokasi pelaksanaan program CSR mereka,” ujarnya.

img 5804
GAMBAR kenangan kakitangan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dan anak kariah Masjid Ar-Rahman Batu Feringghi yang menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan di sini pasa pagi tadi.

Turut hadir, Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) JHEAIPP, Mohamad Afandi Abd. Razak serta Ketua Divisyen Operasi JKSB, Hussin Mohammad.

Buletin Mutiara difahamkan seramai 30 kakitangan JKSB bersama anak-anak kariah tempatan terlibat dalam program agihan daging korban tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB