Jom jimat air..!

Admin

KAPASITI efektif di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masih berada pada paras kurang daripada 50 peratus sehingga jam 12.00 tengah hari hari ini (22 Mei 2023).

 

 

Empangan Air Itam mencatatkan paras kapasiti pada 44.4 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pula 47.1 peratus. Bagi, empangan rizab simpanan air iaitu Empangan Mengkuang kini berada pada kapasiti 88.3 peratus.

 

 

Kapasiti di kedua-dua empangan (iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang) walau bagaimanapun menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pada 19 Mei 2023 lalu iaitu 41.5 peratus di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang (45.7 peratus).

 

BACAAN kapasiti efektif di ketiga-tiga empangan utama di negeri ini sehingga 12.00 tengah hari.

 

Peningkatan kapasiti ini dipercayai ‘disumbang’ oleh keadaan cuaca yang hujan sejak beberapa hari lalu, termasuk pada pagi ini.

 

 

Pagi ini sekitar 11.30 pagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa buah negeri termasuk di Pulau Pinang sehingga jam 3.00 petang.

 

 

Malah MetMalaysia juga melalui portal rasmi mengeluarkan status terkini tinjauan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) yang mana dijangka akan berterusan sehingga bulan Julai nanti dengan kebarangkalian 82 peratus.

 

 

Kebarangkalian ini juga dijangka meningkat melebihi 90 peratus sehingga penghujung tahun ini berdasarkan indeks suhu permukaan laut.

 

 

MetMalaysia juga menasihati orang ramai supaya peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini menerusi laman web atau aplikasi myCuaca atau melalui media sosial MetMalaysia.

 

 

Sebelum ini, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa kapasiti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masing pada 82.5 peratus dan 64 peratus pada 1 Januari 2023.

 

 

Penyusutan kapasiti efektif ini berpunca daripada keadaan cuaca panas dan taburan hujan yang rendah selain penggunaan yang tinggi.

 

 

Semalam (21 Mei) PBAPP memaklumkan bahawa pihaknya telah mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam iaitu daripada 22 juta liter sehari (JLH) kepada 15 JLH.

 

 

“Pada Jun 2023, pelepasan harian mungkin akan diturunkan lagi untuk mempertahankan baki rizab air mentah empangan.

 

 

“Apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam jatuh di bawah 30 peratus, PBAPP mungkin mengurangkan pelepasan harian kepada julat antara 10 JLH hingga 12 JLH.

 

 

“Ini satu-satunya pilihan rasional untuk menguruskan baki rizab air mentah empangan untuk bertahan sehingga September.

 

 

“Namun begitu, untuk lebih selamat, PBAPP meminta kerjasama segera (daripada) pengguna air di Air Itam untuk mengurangkan penggunaan air mereka mulai sekarang,” sebagai dipetik.

 

 

Sejak awal Mei lagi, PBAPP telah mengehadkan pelepasan harian kepada 15 JLH bagi mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari dua muka sauk di kaki bukit Bukit Bendera.

 

 

Selain itu, PBAPP juga mempunyai pilihan untuk beralih dari mod kontingensi kepada mod lebih tegas dalam menguruskan air di Air Itam.

 

 

Susulan itu, PBAPP juga memberi pengguna dua pilihan iaitu sama ada mengambil mudah situasi penyusutan air di empangan dengan menggunakan air tanpa berhati-hati dan mengharapkan yang terbaik atau menyertai PBAPP dalam berjuang mempertahankan kapasiti efektif di Empangan Air Itam selama yang mungkin dengan hanya mengurangkan penggunaan air setiap hari.

 

 

Pilihan kini di tangan anda, tepuk dada tanya selera. Jom bersama-sama mainkan peranan kita, jimat air!

 

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING