Jom meriahkan Family Fun Walk sempena Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019

Admin
SOON Lip Chee menunjukkan baju yang direka khas sempena Family Fun Walk dalam mempromosikan Karnival Olimpik Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Family Fun Walk pada 23 Jun ini, sebagai sebahagian daripada acara sambutan Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019.

Bagi menggalakkan sambutan, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee bakal memperkenalkan sijil penghargaan khas kepada kilang mahupun syarikat yang berjaya menghantar penyertaan melebihi 100 orang.

“Respons dari kilang-kilang terhadap Family Fun Walk ini sangat baik dan mereka bertanya berkenaan hal ini, jadi saya putuskan untuk beri sijil khas (bersaiz A3) kepada syarikat atau kilang-kilang yang menghantar peserta melebihi 100 orang.

“Malah, semasa acara ini berlangsung, saya galakkan wakil-wakil syarikat untuk membawa sepanduk mereka sendiri kerana ini merupakan satu peluang terbaik untuk mempromosikan syarikat masing-masing,” ujar belia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Turut hadir, Pengerusi Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock.

Manakala, bagi penyertaan melibatkan sekolah, Lip Chee memberitahu, setiap pelajar yang menyertai acara ini layak mendapat 14 markah. “Perkara ini telahpun dipersetujui bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP),” ujarnya.

Difahamkan, Family Fun Walk yang akan berlangsung di Padang Kota itu menghadkan penyertaan kepada 8,000 orang peserta sahaja dan penyertaan akan ditutup pada 30 April ini.

Setiap peserta juga layak menerima sehelai t-shirt dan pingat dengan yuran penyertan RM40 sahaja.

Pendaftaran dan maklumat lanjut sila layari https://event.howei.com/event/olympic-carnival-penang-2019-family-fun-walk atau menghubungi talian 012-494 1416 dan 016-4902904.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD