Jom! Meriahkan Seberang Perai Fiesta 2018, 26 – 30 September ini

Admin
cof

SEBERANG JAYA – Orang ramai dijemput memeriahkan program Seberang Perai Fiesta 2018 yang bakal diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 30 September ini bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk memperomosikan bidang pertanian, penternakan serta perikanan.

Menurutnya, program berkenaan dianjurkan dengan kolaborasi bersama Agrofest Penang, Penang Food Festival dan juga Festival Seni Northsantara Art Wave.

“Pelbagai aktiviti menarik daripada hasil produk pertanian, makanan dan hasil seni lukisan akan diadakan selain diserikan dengan persembahan artis tempatan melalui Festival Seni Northsantara Art Wave.

“(Dan) Yang paling penting adalah untuk mempromosi produk-produk pertanian melalui Agrofest Penang,” katanya pada sidang media di Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini sebentar tadi.

Selain itu, menurut Afif, sebanyak 80 buah gerai makanan akan disediakan melalui penganjuran Penang Food Festival berasaskan trend makanan terkini yang menjanjikan pelbagai menu menarik kepada pengunjung.

“Selain itu, antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang lima hari program ini adalah pertandingan memancing, pertandingan kucing, karaoke, pameran oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikan serta banyak lagi.

“Majlis perasmian program ini pula akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bermula jam 8.00 malam pada 29 September 2018,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ENG KOK WEI