Jom sertai jalan santai 25 November, bersolidariti hentikan buli

PERBADANAN Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bakal menganjurkan acara jalan santai bersempena kempen tahunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Goes Orange 2023 pada 25 November ini di Padang Kota Lama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng berkata, acara yang dikenali sebagai Jalan Bersama : Hentikan Buli bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai isu buli yang semakin merebak mutakhir ini.

 

“Kita sering mendengar kes-kes berkaitan buli lebih-lebih lagi membabitkan pelajar di bangku sekolah.

 

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita, tetapi menyedihkan apabila kes buli boleh terjadi,” ujarnya.



Bee Leng yang ditemui pada sesi wawancara khas di pejabatnya di Komtar memberitahu bahawa semua pihak perlu bekerjasama dalam membendung gejala buli daripada berleluasa.

 

Oleh yang demikian, jelasnya, PWDC mengambil pendekatan dengan memfokuskan isu buli sempena sambutan ulang tahun ke-10 kempen Penang Goes Orange tahun ini.

 

Salah satu objektif adalah untuk membentuk kesedaran dalam kalangan para pelajar yang mungkin terjebak dalam gejala buli ini.

 

“Hal ini kerana, perbuatan membuli boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental mangsa buli seumur hidup, mereka akan hidup dalam ketakutan dan (keadaan) ini amat berbahaya,” tegasnya yang turut berkongsi kesan akibat perbuatan buli.

 

Umpama pepatah, setajam-tajam pisau, lebih tajam lidah manusia, perlakuan membuli hakikatnya boleh mengakibatkan gangguan mental yang teruk dan sekiranya tidak dibendung, dikhuatiri menimbulkan keadaan kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat.

 

ONG Bee Leng ketika ditemu ramah di pejabatnya di Komtar.

 

Menurut Bee Leng, kitaran perilaku membuli ini wajar dihentikan pada peringkat sekolah lagi, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan.

 

“PWDC dengan kerjasama JPNPP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan beberapa siri kempen di sekolah dan kita mensasarkan pelajar sekolah menengah.

 

Kebiasaannya mangsa buli tidak mahu bersuara, lebih banyak berdiam diri, oleh itu, bukan sahaja guru di sekolah tetapi ibu bapa di rumah juga perlu memantau perubahan perilaku anak-anak.

 

“Bagi mereka yang membuli pula akan berasa megah diri dan kitaran perilaku tersebut akan berulang dan ini adalah salah, kita harus membantu menyedarkan mereka, tidak ada sebab untuk terus membuli,” katanya.

 

Berpegang kepada perubahan tidak boleh berlaku semalaman, Bee Leng berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus meningkatkan kesedaran umum mengenai isu buli ini.

 

“Sememangnya sejak dahulu lagi PWDC berperanan untuk menyebar luas dan meningkatkan kesedaran umum berhubung isu-isu sosial.

 

Kebanyakan program ataupun kempen yang dirancang oleh PWDC adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, sama seperti Visi Penang2030 iaitu Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“Memang titik fokalnya adalah keluarga, sekiranya unit keluarga ini bahagia dan sejahtera maka negeri bukan sahaja hijau dan pintar tetapi juga makmur dan maju,” jelasnya.

 

“TANDAKAN kalendar anda” – Ong Bee Lee.

Mengulas mengenai acara jalan santai yang bakal diadakan pada 25 November 2023 nanti, Bee Leng memaklumkan bahawa ia merupakan salah satu acara yang bakal mengisi 16 hari dikenali sebagai ‘16 Days of Activism’.

 

“Setiap tahun 25 November adalah Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut di seluruh dunia.

 

“Jadi bermula pada 25 November sehingga 10 Disember 2023, yang mana 10 Disember adalah Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, PWDC akan mengadakan pelbagai program kesedaran umum.

 

Ini adalah momentum untuk memberitahu umum bahawa apa juga bentuk keganasan termasuk perbuatan membuli tidak seharusnya berlaku, ia merupakan satu kesalahan.

 

“(Dan) tahun ini, dengan kerjasama dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia juga, PWDC mengadakan acara Jalan Bersama : Hentikan Buli dalam memupuk sahsiah yang baik.

 

“Jadi jom, kita sertai acara jalan santai ini, ajaklah ahli keluarga mahupun rakan-rakan untuk menyertai acara ini dan sama-sama bersolidariti membenteras perbuatan buli,” ulasnya lagi.

IMBAS kod QR untuk penyertaan, jom!

Bagi mereka yang berminat untuk sertai, sila imbas kod QR yang terdapat pada poster promosi berkaitan atau layari Facebook Penang Women’s Development Corporation – PWDC.

 

Bertanda pagar #sayaprihatin dan #kindness4wellness pendaftaran bagi acara tersebut, Jalan Bersama : Hentikan Buli kini dibuka. Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dibuat melalui https://howei.com/event_details/penanggoesorange23 atau imbas kod QR di poster acara. Bayaran RM20 dikenakan untuk setiap pendaftaran. Terhad kepada 5,000 penyertaan sahaja.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN