Jom sertai Northern Stats Run, peluang berlari di tiga negeri dalam satu hari

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai yang berminat berlari di tiga buah negeri dalam satu acara dipelawa untuk menyertai Northern Stats Run 2023 kali kelapan pada 28 Oktober ini.

 

 

Menurut Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan, acara larian tersebut meliputi negeri Pulau Pinang, Perak dan Kedah menerusi larian 5 dan 10 kilometer (km).

 

 

“Matlamat utama penganjuran Stats Run 2023  yang diadakan sejak tahun 2013 ini adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan DOSM.

 

 

“Kami (DOSM) bukanlah jabatan di bawah kementerian yang terkenal seperti jabatan berkaitan kesihatan, penguatkuasaan, sukan dan lain-lain, jadi perlu adanya acara seperti ini supaya masyarakat lebih kenal mengenali Jabatan Perangkaan terutama fungsi dan kepentingan kami dalam pentadbiran negara.

 

 

“Untuk itu, orang ramai akan lebih cakna dan peka terhadap peranan dimainkan oleh DOSM seperti melakukan bancian atau soal selidik.

 

 

“Kami faham bahawa dalam era teknologi ini kadangkala ada yang berwaspada kerana bimbang sekiranya berlaku kebocoran maklumat kepada pihak yang tidak sepatutnya dan akan mendedahkan mereka kepada penipuan atau scam,” ujar Khairolnizam ketika menerima kunjungan Buletin Mutiara di Bangunan Persekutuan pagi tadi.

 

 

Tambahnya, selain banci penduduk yang diadakan 10 tahun sekali, DOSM turut bertanggungjawab melaksanakan banci ekonomi, banci pertanian yang meliputi penternakan, perikanan dan lain-lain.

 

 

Daripada data-data yang diperolehi itu katanya akan memudahkan fungsi Kerajaan Negeri dan  Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar-dasar baharu dan pelan pembangunan pada masa hadapan berdasarkan statistik DOSM.

 

Turut hadir, Timbalan Pengarah DOSM Pulau Pinang, Adrian Audtin Spiji dan pegawai-pegawai yang lain.

 

 

Difahamkan, sehingga kini DOSM Pulau Pinang sudah menerima 700 penyertaan bagi acara tersebut dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 September ini.

 

 

Namun, Khairolnizam menjangkakan sasaran 1,500 orang akan tercapai seperti penganjuran sebelum ini dan tidak menolak kemungkinan untuk menerima penyertaan pada saat akhir sebelum acara larian sebenar berlangsung di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal bermula jam 6:30 pagi.

 

 

“Kami juga berharap pihak-pihak lain seperti Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dapat menggunakan segala platform media sosial mereka untuk mempromosikan acara ini sebagai wadah mendekati rakyat.

 

 

“Tema yang kami gunakan kalau semua perasan bertemakan biru kuning, tema negeri Perlis kerana kita mahu keberadaan Perlis turut dirasai walaupun laluan hanya meliputi tiga negeri yang bersempadan ini.

 

 

“Selain itu, kami turut menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAA) sebagai juri untuk acara larian 10km yang berformat kompetitif bagi mengelakkan sebarang pertikaian,” maklum Khairolnizam yang mula bertugas di Pulau Pinang sejak November 2022.

 

 

Lebih menarik, difahamkan ‘cut of time’ bagi setiap acara turut dilanjutkan bagi membolehkan para peserta yang layak membawa pulang medal sambil menyertainya secara berkeluarga.

 

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh layari https://forms.gle/B2sPCdKaGVGTxNN8 atau imbas kod QR yang tertera.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD DAUD