Jom sertai PMP MindFest, uji kecerdasan minda – Syerleena

SERI DELIMA – Sempena musim cuti penggal persekolahan bagi 2018, orang ramai khasnya para pelajar dipelawa untuk menyertai Program PMP MindFest yang diadakan bermula pada 28 November sehingga 18 Disember 2018 ini di Penang Math Platform (PMP), Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid ketika ditemui pada majlis pelancarannya pagi ini memberitahu bahawa program tersebut merupakan program julung kali diadakan di Pusat Kecemerlangan Matematik dan Sains Matematik, PMP.

Menurut Syerleena, tujuan penganjuran Program PMP MindFest adalah untuk memberi pendedahan dalam menarik minat para pelajar terhadap subjek sains dan matematik.

“Selain itu, saya difahamkan program ini juga menggabungkan konsep permainan tradisional dan kontemporari dalam menjadikan program ini lebih menarik kepada pelajar-pelajar dan orang ramai.

“(Dan) secara tidak langsung program ini juga melibatkan penglibatan golongan muda yang menjadi asas kepada negara pada masa hadapan selain dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta yang menyertai Program PMP MindFest ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkaitan.

Hadir sama, Pengurus Besar PMP, Richard Chung dan wakil badan-badan yang menyumbang dalam menjayakan Program PMP MindFest.

Jelas Syerleena lagi, selain penjagaan kesihatan fizikal, kecerdasan minda juga penting.

“Di MindFest ini, difahamkan penganjur menyediakan permainan untuk menguji minda yang mana secara tidak langsung membantu dalam merangsang kesihatan mental.

“Jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini, jom sertai Program PMP MindFest,” serunya.

Sementara itu, Richard Chung ketika berucap memaklumkan bahawa Program PMP MindFest merupakan satu kaedah pembelajaran matematik yang menyeronokkan melalui kaedah permainan.

“Kami berharap melalui MindFest, ppeserta boleh memupuk rasa sayang kepada matematik melalui permainan interaktif selain boleh membuang persepsi ‘takut’ kepada matematik,” katanya.

Antara jenis permainan yang disediakan di PMP MindFest termasuklah, permainan traditional seperti congkak, batu seremban, tangrams dan rangoli, rubik’s cube, brains games, mental arithmetic, memory skill workshops, pertandingan catur, permainan bridge dan pelbagai lagi.

Bagi yang berminat untuk turut serta boleh membuat pendaftaran di www.penangmathplatform.com/ atau hubungi talian 04-373 0796 dan WhatsApp di 011-5898 0896.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI