‘Jumpa di mahkamah’, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini pada tengah hari tadi.

SUNGAI PUYU – “Jumpa di mahkamah,” demikian respons Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Menteri Besar Kedah pada Khamis lepas iaitu bersedia merujuk kes menuntut balik hak negeri Kedah ke atas Pulau Pinang di ahkamah.

Dalam nada sederhana, kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Menteri Besar Kedah berkenaan sepatutnya melihat aspek perundangan berkaitan termasuk Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985, sebelum mempolitikkan isu berbangkit konon-konon Pulau Pinang adalah milik Kedah.

“Inilah lunas undang-undang yang mengawal selia sempadan negeri-negeri.

“Kalaulah Sanusi (Menteri Besar Kedah) berasa sejarah memihak kepadanya, tetapi undang-undang adalah memihak kepada kami (Pulau Pinang); undang-undang tak memihak kepada Sanusi.

“Jadi, kita tunggu dia (Menteri Besar Kedah) ambil tindakan (di mahkamah),” responsnya kepada pemberita seusai merasmikan pembukaan Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu di sini pada 3 Jun 2023.

Difahamkan, berdasarkan Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985, antara lain menyebut;

3 Bahagian Negeri Pulau Pinang yang mengandungi-

(a) Sungai Muda yang bermula dari garis tengah alur Sungai Muda hingga tebing utara Sungai itu;

Kon Yeow berkata, sepatutnya Menteri Besar Kedah perlu terus mengambil tindakan selanjutnya di mahkamah, bukan sekadar menyatakan kesediaan untuk menuntut hak Kedah ke atas Pulau Pinang di mahkamah.

“Dia (Sanusi) yang ingin tuntut (Pulau Pinang di mahkamah), bukan kami (Pulau Pinang) yang ingin tuntut (isu berbangkit ini).

“Bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang akan mempertahankan kedaulatan negeri ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Khamis lepas, Menteri Besar Kedah berkenaan dilaporkan berkata bahawa pihaknya mempunyai banyak sandaran (bukti) bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan bersedia merujuk isu berbangkit tersebut di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut diminta respons mengenai kenyataan terbaru wakil Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM Berhad hari ini iaitu projek penyahgaraman air laut menjadi air minuman (desalisasi) lebih mudah di Semenanjung Malaysia berbanding sekitar perairan Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, projek desalisasi memang adalah antara yang disenaraikan dalam Pelan Kontingensi Air Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030, namun Pihak Berkuasa Negeri dan agensinya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diminta untuk memilih opsyen paling jimat dalam merawat sumber air mentah yang diperlukan di negeri ini.

Justeru, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada beberapa opsyen sedia ada yang lain di bawah Pelan Kontingensi Air Negeri Pulau Pinang, antaranya adalah berusaha meneruskan rundingan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) di samping menyegerakan pelaksanaan kesemua fasa pembangunan berkaitan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) yang tertangguh sebelum ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) memang mengalu-alukan SIRIM (Berhad) untuk memberikan khidmat nasihat kepada pihak berkuasa air (iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN, dan PBAPP),” ujarnya sambil berharap Kerajaan Pusat turut menyalurkan dana perbelanjaan pembangunan berwajib bagi merealisasikan mana-mana opsyen di bawah Pelan Kontingensi Air Negeri Pulau Pinang termasuk cadangan program desalisasi di negeri ini pada masa hadapan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT