Kad Laporan PR untuk 1.5juta rakyat negeri

Admin

URUS tadbir Kerajaan yang cemerlang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) Kerajaan PR Berjiwa Rakyat telah berjaya memantapkan negeri Pulau Pinang bukan hanya pada kedudukan kewangan dengan lebihan terbesar di dalam sejarah pentadbiran, malah, sekaligus turut memperoleh pengiktirafan daripada Transparency International.

Hanya di dalam tempoh dua tahun, banyak dasar demi kepentingan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, jantina dan latar belakang telah diimplementasikan Kerajaan PR Berjiwa Rakyat berteraskan penekanan prinsip 3 P iaitu Perkayakan Rakyat dengan memastikan rakyat dapat menikmati pengagihan hasil ekonomi, Perkuasakan Rakyat dengan hak asasi serta kebebasan dan Perkasakan Rakyat dengan ilmu pengetahuan.

Bersempena dengan Majlis Pelancaran 30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat yang dijalankan pada 21 Mei 2010, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Lim Guan Eng di dalam ucapan beliau menyatakan bahawa risalah yang diterbitkan di dalam empat bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) ini adalah umpana kad laporan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kepada 1.5 juta rakyat negeri Pulau Pinang.

Kita mengambil inisiatif untuk menghasilkan satu kad laporan. Kita memberi harapan kepada golongan muda manakala penghargaan kepada warga emas. Jelas sekali, apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk menjaga semua rakyat di seluruh negeri ini.

Laporan ini adalah sejajar dengan visi Kerajaan PR untuk merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya antarabangsa yang bakal menjadi pilihan pelabur ; destinasi pilihan para pelancong dan habitat pilihan untuk kehidupan yang mapan.

Sekiranya terdapat Kerajaan yang baik dan bersih, kita akan dapat jimatkan wang. Itulah utusan yang ingin dimaklumkan kepada rakyat dan sebahagian daripada dasar ini dijelaskan dengan jelas di dalam risalah 30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat,’’ katanya pada majlis Pelancaran 30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri, Pegawai Seranta, Pegawai Penyelaras KADUN dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN).

Dalam pada itu, beliau menambah, adalah menjadi amanat kepada semua penjawat awam untuk bersama menyebarkan maklumat mengenai dasar diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi mencerminkan ketaatan kepada keadilan, kebenaran dan kesetiaan kepada Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, saya juga berharap para Pegawai Seranta dan Pegawai Penyelaras turut dapat membantu rakyat memahami dan menyokong kepada nilai-nilai murni Kerajaan Negeri kerana bukan mudah untuk membentuk sebuah Kerajaan selepas 51 tahun. Kini kita ada peluang, justeru, kita perlu ada nilai untuk mewujudkan sebuah Kerajaan baik,’’ jelas beliau.

Umumnya, huraian 30 Dasar Kerajaan Berjiwa Rakyat dibuat berasaskan prinsip 3 P. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengimplementasikan lebih daripada jumlah dasar yang disenaraikan, namun, bagi edaran pertama, hanya 30 dasar penting sahaja yang diketengahkan sebagai makluman kepada seluruh masyarakat Pulau Pinang.

Selain maklumat mengenai dasar yang telah dan bakal diimplementasikan oleh Kerajaan Negeri, turut disenaraikan adalah insentif-insentif serta jenis bantuan-bantuan berbentuk kewangan dan ajikan yang dan disediakan kepada rakyat Pulau Pinang khususnya masyarakat berketurunan Melayu.

Sebagai makluman lanjut, risalah 30 Dasar Kerajaaan Berjiwa Rakyat boleh diperoleh di Komtar dan juga semua pejabat DUN seluruh negeri Pulau Pinang.

Suara rakyat suara keramat,

Bebaskan rakyat, Malaysia selamat!