Kadar baharu bagi sewa petak khas MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menaikkan kadar sewa petak khas parkir kepada RM250 berkuat kuasa 1 April ini.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, kenaikan tersebut akan melibatkan 70 petak parkir di seluruh kawasan pulau.

“Kenaikan kadar sewa petak khas baharu ini adalah berpatutan di mana dahulunya kita (Majlis) mengenakan RM200 bagi setiap petak khas yang disewa,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM), di sini pagi ini.

Petak khas ini merujuk kepada lot parkir yang disewa oleh perniagaan yang menjalankan perkhidmatan seperti bank, klinik, kedai servis kereta dan sebagainya melalui MBPP.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ir Addnan Mohd. Razali dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Dalam perkembangan lain, Tung Seang pada sidang media yang sama turut mengumumkan dua pengiktirafan Asean Public Toilet Standard yang dianugerahkan oleh Asean Tourism Standard baru-baru ini.

Jelasnya, kedua-dua anugerah tersebut diperolehi bagi dua tandas awam di Batu Feringghi iaitu masing-masingnya Tandas Awam Pantai Miami dan Tandas Awam Pantai Mas.

“Antara aspek dan kriteria yang dinilai ialah persekitaran, struktur penyelenggaraan kebersihan, kemudahan sanitari yang diguna pakai, papan tanda jelas, aktiviti pembersihan tandas dan keperluan tambahan.

“Tahniah dan syabas seluruh warga MBPP!,” ucapnya.