Kadar baharu cukai tanah kekal untuk tempoh minimum 10 tahun

Admin
whatsapp image 2025 09 19 at 12.33.43 (1)

GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang telah mewartakan kadar baharu cukai tanah bagi seluruh negeri di bawah seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pewartaan semakan cukai dan kadar baharu cukai tanah akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di negeri Pulau Pinang.

”Kadar baharu cukai tanah ini telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara 2024, dan semakan semula hanya akan dibuat pada setiap 10 tahun.

”Ini bermakna, kadar cukai tanah baharu yang berkuat kuasa 1 Januari 2026 akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan pada tempoh minimum 10 tahun sehingga semakan baharu dilaksanakan kelak,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

 

whatsapp image 2025 09 19 at 12.33.42whatsapp image 2025 09 19 at 12.42.57whatsapp image 2025 09 19 at 12.42.58whatsapp image 2025 09 19 at 12.42.58 (1)

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa semakan cukai tanah perlu dilaksanakan ketika ini memandangkan kadar cukai tanah tidak pernah disemak sejak 30 tahun lalu.

”Kali terakhir kajian kadar cukai tanah di negeri Pulau Pinang dibuat pada tahun 1994 iaitu 30 tahun lepas.

”Ini bermakna Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membuat semakan semula kadar cukai sebanyak dua pusingan iaitu pada tahun 2004 dan 2014.

”Keadaan ini juga telah menyebabkan Kerajaan Negeri tidak menerima peningkatan hasil cukai tanah untuk tempoh yang panjang.

”Selain itu, tunggakan cukai tanah dan ketirisan kutipan cukai tanah juga meningkat kerana pemurnian data cukai tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” ujarnya.

Kon Yeow berkata, semakan cukai tanah tidak melibatkan 300,000 akaun Cukai Petak Strata yang mana semua pemilik petak strata akan terus membayar cukai petak strata mengikut kadar sedia ada.

Malah, menurut beliau, semakan cukai tanah adalah lebih tertumpu kepada tanah bagi kategori perindustrian dan perniagaan yang telah memberikan pulangan keuntungan kepada pemilik tanah.

“Tanah perniagaan dan perindustrian mempunyai ruang yang boleh digunakan untuk pemilik meraih keuntungan yang lumayan, maka kadar kenaikan cukai tanah kali ini adalah tertumpu kepada pemilik tanah bagi kedua-dua kategori tersebut.

”Kesan kenaikan kadar baharu cukai tanah terhadap pemilik tanah kediaman dan pertanian pula adalah relatif lebih kecil, yang mana kadar minimum bagi tanah di kawasan bandar contohnya hanya meningkat daripada RM40 kepada RM50 sahaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bagi mengurangkan impak kenaikan kadar cukai tanah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pemberian insentif kepada semua pemilik tanah di negeri ini.

“Rebat bayaran cukai sebanyak 32.5 peratus akan dilaksanakan pada tahun 2026 dan diikuti 20 peratus pada tahun 2027 dan 2028.

“Pemberian rebat bayaran cukai tanah akan memberikan manfaat kepada semua pemilik tanah di negeri ini tanpa mengira kategori dan kegunaan tanah.

“Walau bagaimanapun, semua pemilik tanah yang menikmati rebat ini perlu membayar kadar cukai tanah sedia ada sekiranya amaun bayaran cukai tanah selepas rebat diberikan adalah lebih rendah daripada amaun sedia ada yang dibayar pada tahun 2025.

“Lazimnya, pemberian rebat ini akan menyebabkan Kerajaan Negeri tidak dapat mengutip hasil cukai berjumlah RM80 hingga 100 juta setahun pada tahun 2026 sehingga 2028,” ulasnya lanjut.

Selain daripada rebat untuk tempoh tiga tahun, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan insentif lain kepada semua pemilik tanah di Pulau Pinang.

“Antaranya adalah pengecualian bayaran denda ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus mulai 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026.

“Pengecualian ini akan melibatkan tunggakan denda berjumlah RM25 juta, bagi menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai sebagaimana ditetapkan.

“Seterusnya adalah pemberian diskaun 50 peratus kadar premium untuk pertukaran kategori tanah pertanian kepada bangunan (kediaman sahaja dan bukan pembangunan perumahan) bagi tujuan kediaman sahaja tertakluk kepada garis panduan perancangan.

“Diskaun ini ditawarkan sepanjang tahun 2026 sahaja bagi menggalakkan semua pemilik tanah ketegori pertanian yang berada dalam zon perlingkungan pembangunan untuk menukar kategori tanah milik masing-masing daripada pertanian kepada bangunan,” jelasnya.

Tambah beliau, pemberian insentif tersebut juga akan membantu pemilik-pemilik tanah kategori pertanian meningkatkan nilai pemilikan tanah dan kediaman persendirian masing-masing.

“Insentif ketiga ialah pemberian pelbagai cenderahati dalam bentuk barangan dapur selain cabutan bertuah kepada pembayar cukai tanah dan cukai petak strata yang membayar cukai tanah dan cukai petak strata melalui Aplikasi PG Land secara dalam talian (online).

“Insentif ini diberikan bagi menggalakkan pembayaran cukai secara dalam talian (online) dalam kalangan pemilik-pemilik tanah dan petak strata di negeri ini,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin dan Setiausaha Politik Kepada ketua Menteri, Lau Keng Ee.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING