Kadar pelancongan negeri kian pesat – KM

GEORGE TOWN – Penganjur MATTA Fair Penang 2017 menjangkakan perolehan jualan sebanyak RM20 juta untuk tiga hari acara penganjuran berdasarkan permintaan terhadap perjalanan serta lawatan domestik dan asing yang kian meningkat.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, tahun lalu (2016), penganjuran tersebut mencatatkan lebih 15,000 pelawat dengan jualan keseluruhan sekitar RM15 juta.

“Dengan penyertaan kirakira 133 ruang pameran, saya percaya kami mampu menjana perolehan lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Maka, tahun ini, MATTA menjangkakan akan menerima lebih 18,000 pengunjung dengan perolehan jualan RM20 juta,” ujarnya pada Majlis Perasmian MATTA Fair Penang 2017 di sini baru-baru ini.

Pameran tersebut antara lainnya turut menawarkan lebih daripada RM20,000 hadiah kepada pemenang bertuah seperti tiket penerbangan percuma dan baucar hotel.

Kok Liang memberitahu, berdasarkan Kajian Pelancongan Pulau Pinang 2016, pelawat pada tahun tersebut terdiri daripada 49.7 peratus warga asing dan negeri-negeri lain di Malaysia (50.3 peratus).

“Pulau Pinang mencatatkan angka ketibaan paling tinggi iaitu sebanyak 6.2 juta tahun lepas,” jelasnya.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng yang merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyatakan bahawa kadar pelancong negeri yang kian pesat boleh dilihat daripada pertumbuhan bilangan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (PIA) dan Bukit Bendera.

“Sebelum tahun 2008, Bukit Bendera hanya menerima sekitar 200,000 penumpang setahun dan angka ini telah melonjak kepada 1.7 juta penumpang kini.

“Manakala, PIA dijangka mencapai kapasiti 6.5 juta penumpang pada tahun 2020. Tetapi tahun lalu, kapasiti maksimum ini telah melebihi 6.7 penumpang, dan tahun ini (2017) menyaksikan pertambahan bilangan penumpang kepada 7.1 juta orang,” kata beliau.