KADUN Batu Lancang peroleh AED keempat di Pasar Awam Jelutong

Admin

BATU LANCANG – Pemasangan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Pasar Awam Jelutong hari ini merupakan yang keempat bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata pihaknya telah menyumbang dua unit AED bernilai RM8,800 setiap satu untuk dipasang di Pasar Awam Jelutong dan Pasar Awam Jalan Perak.

 

“Seperti kita ketahui AED ini sangat penting apabila berlaku kes kecemasan terutamanya melibatkan serangan jantung.

 

“Difahamkan sesorang itu perlu dipulihkan pernafasannya dalam masa empat minit untuk mengelakkan risiko kematian.

 

“Kita ambil inisiatif memasang alat AED di tempat awam kerana serangan jantung boleh berlaku di mana-mana sahaja,” ujar Ah Teong sejurus melawat kerja-kerja pemasangan AED di Pasar Awam Jelutong pagi ini.

Hadir sama, Pengerusi Community Emergency Response Team (CERT) George Town, Ong Swee Jin.

 

Tambah Ah Teong, dua lagi unit AED telah dipasang dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee dan Pasar Awam Batu Lancang.

 

“AED ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja terutamnya orang awam dan seperti saya jelaskan ia memainkan peranan besar untuk menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan daripada pegawai perubatan tiba.

 

“Pemasangan ini juga menjadikan jumlah keseluruhan AED di bahagian pulau adalah berjumlah 160 unit,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD