Kairos Agriculture, ladang vanila pintar pertama negara kini di Pulau Pinang

Admin

PENANTI – Ladang vanila diusahakan syarikat Kairos Agriculture, secara pintar menggunakan teknologi seperti internet pelbagai benda (IoT) dekat Taman Agro Permatang Pauh merupakan pertama seumpamanya di negara ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pembukaan ladang pintar seluas dua ekar tersebut akan menarik lebih banyak pihak lagi ke negeri ini untuk menghasilkan pertanian jenis bernilai tinggi.

“Pulau Pinang dengan saiz tanah yang kecil… menerusi penggunaan teknologi, kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat membantu golongan usahawan tani menghasilkan tanaman bernilai tinggi.

KETUA Menteri dalam sidang media sini pada pagi tadi.

“Perkara paling penting adalah penggunaan aplikasi teknologi dalam pertanian, dan pada hari ini adalah berkaitan tanaman vanila secara peladangan pintar.

“Jadi, (aktiviti keusahawanan Kairos Agriculture) ini adalah sebuah ladang pintar yang pertama,” jelasnya dalam sidang media selepas menyempurnakan acara perasmian pembukaan Ladang Vanila Pintar Pertama Malaysia di sini pada 15 Ogos 2020.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti serta jurucakap Kairos Agriculture iaitu Pengarah Urusan Jubli Rebak Sdn. Bhd., Ezara Tan Koon Hock turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar merangkap ‘ADUN Angkat’ KADUN Seberang Jaya; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (CMI), S. Bharathi dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Muhaimin Ibrahim.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui CMI ketika ini mempunyai tanah untuk tujuan perusahaan pertanian seluas kira-kira 22 ekar tanah di Taman Agro Permatang Pauh.

“Penggunaan teknologi dalam pertanian seperti disebut Dr. Norlela adalah suatu agenda yang kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) ingin majukan

“Jadi, peranan Kerajaan Negeri sebagai pemudah cara, dengan saiz tanah yang sedikit kita (Kerajaan Negeri) akan bekerjasama dengan usahawan,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Selain itu, beliau berkata bahawa pandemik COVID-19 yang turut dihadapi penduduk Pulau Pinang telah menjadi ‘peluang’ dalam menpercepatkan proses pendigitalan dalam sektor pertanian negeri.

EZRA Tan Koon Hock ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di sini pada pagi tadi.

 

Dalam pada itu, Koon Hock menyatakan bahawa penanaman pokok vanila secara pintar di atas tanah berkeluasan 2 ekar dapat membawa pulangan kasar kira-kira RM1.5 juta tiap-tiap tahun.

“Sekarang, teknologi (IoT) yang kami (Kairos Agriculture) gunakan adalah sistem perairan, dan pada masa sama, kami pantau suhu terlalu panas atau tahap pertumbuhan terlalu rendah, sistem pengairan ini akan berfungsi secara automatik.

“Di atas tanah seluas 2 ekar ini, ada kira-kira lapan ribu keratan batang pokok, ia mengambil masa dalam dua setengah tahun untuk tumbuh bunga, lagi sembilan bulan untuk berbuah (untuk kali pertama sebelum proses tuaian)

“Selepas itu, tiap-tiap tahun, ia akan berbuah,” ulasnya.

Di samping itu, Koon Hock turut memberitahu bahawa Kairos Agriculture dalam perancangan untuk membuka ladang vanila pintar kedua negara di negeri Sarawak.

“Kami (Kairos Agriculture) akan eksport (abstrak) vanila ke Jepun, dan telah ada satu syarikat di sana yang memeterai perjanjian dengan kami.

“Pada masa sama, kami meneroka pasaran domestik, selepas kajian mendapati ada pasaran sebesar RM1 juta setahun.

“Sebab itu, kami telah ada jenama sendiri untuk dipasarkan dalam negeri…akan dipasarkan melalui Shopee tidak lama lagi,” katanya.

SEBAHAGIAN kawasan ladang pintar dengan penggunaan aplikasi IOT dalam sistem siraman pokok di sini.

Sebelum pada itu, Kon Yeow ketika berucap turut mengumumkan kelulusan permohonan empat lagi tanah milik CMI kepada syarikat Kairos Agriculture untuk tujuan peladangan pintar tanaman vanila serta sayur-sayuran lain secara organik.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS